2016_Sukma_Games_LogoOleh Muhammad Aiman

Meskipun tidak dilihat ramai sebagai pilihan untuk menyerlah, skuad hoki wanita Pahang mampu mencipta kejutan untuk setidak-tidaknya mara ke perlawanan akhir di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan berlangsung dari 22 – 31 Julai ini.

Penjaga gol skuad Tok Gajah, J.Priyangga melaungkan keyakinan itu sambil menegaskan pasukannya memiliki kredibiliti untuk melangkah jauh walaupun tanpa mempertaruhkan nama-nama besar di temasya dwitahunan itu.

“Kami membawa bersama semangat juang dan melawan yang cukup tinggi, dan mahu berikan tentangan sengit. Itu akan jadi kunci kekuatan kami. Ini akan menjadi SUKMA ketiga buat saya dan saya idamkan pencapaian yang lebih baik dari sebelum ini,” ujar pemain berasal dari Mentakab itu.

Untuk rekod, Priyangga hanyalah satu daripada dua pemain Pahang yang beraksi bersama skuad pembangunan hoki wanita kebangsaan bermula Januari lalu, dan pemain berusia 18 tahun itu turut memainkan peranan penting untuk membantu Pahang muncul juara Piala Razak pada Mei lalu.

Dan pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu berazam memanfaatkan pengalaman berharga diraih di Hong Kong pada Mac dan Australia pada bulan lalu untuk menampilkan aksi terbaiknya dalam membantu perjuangan Pahang yang mempunyai rekod muncul juara hoki wanita SUKMA sebanyak tiga kali.

“Sudah tentunya saya merasakan prestasi saya semakin meningkat naik sejak bersama skuad pembangunan, saya belajar dari kesilapan yang dilakukan sama ada ketika sesi latihan ataupun perlawanan. Ini memberikan saya lebih keyakinan, saya mahu jadi penjaga gol nombor satu negara dan itu adalah motivasi diri terbaik bagi saya hadapi SUKMA.”

Selain Priyangga yang diserap ke skuad pembangunan kebangsaan selepas diundi sebagai penjaga gol terbaik Liga Wanita Kebangsaan edisi sulung tahun lalu, seorang lagi pemain Pahang dalam skuad itu adalah Wan Faizah Mohd Sayuti.

Aksi hoki wanita di SUKMA akan berlangsung membabitkan 12 pasukan, dengan Pahang diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan Wilayah Persekutuan, Terengganu, Kedah, Sarawak dan Sabah manakala aksi Kumpulan B pula membabitkan Johor, Melaka, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

- Advertisement -