
Tiada siapa dapat menafikan dominasi kelab bola sepak tanah air Johor Darul Taâzim (JDT) dalam kancah bola sepak tempatan hingga pentas Asia, menjadikan kelab Harimau Selatan itu simbol kebanggaan Liga Malaysia.
Bermula dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan domestik â Piala Sumbangsih dan Piala FA â JDT terus menunjukkan taring di peringkat lebih tinggi menerusi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite 2023/24.
Beraksi cemerlang di peringkat kumpulan Zon Timur, skuad bimbingan Hector Bidoglio mencipta sejarah apabila menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan sekali gus melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik, yang merupakan pencapaian terbaik belum pernah dicapai kelab Malaysia sebelum ini dalam edisi ACL Elite.
Walaupun langkah mereka terhenti selepas tewas tipis 0-1 secara agregat kepada kelab gergasi Thailand, Buriram United, perjalanan bersejarah itu menjadi titik pencetus yang memperlihatkan kualiti sebenar Liga Malaysia di mata benua Asia.
Menerusi pencapaian itu, JDT telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Khas SAM-100PLUS 2024, sebagai menghargai sumbangan luar biasa kelab berkenaan dalam mengangkat martabat bola sepak Malaysia di peringkat serantau.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2024 Mohd Hazreen Mubarak berkata pemilihan JDT sebagai Penerima Anugerah Khas dibuat berdasarkan impak signifikan kelab itu terhadap pembangunan dan imej bola sepak Malaysia.
âJDT bukan sahaja mencipta pencapaian atas padang, tetapi membentuk satu penanda aras profesionalisme kelab bola sepak di negara ini. Pencapaian di ACL Elite menjadi bukti bahawa kelab Malaysia mampu bersaing di pentas tertinggi Asia.
âAnugerah ini merupakan satu pengiktirafan terhadap visi, kerja keras dan piawaian yang mereka bawa,â katanya.
Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi satu penghormatan buat kelab, malah turut mencerminkan visi profesionalisme yang diterapkan dalam pengurusan JDT sejak penubuhannya, termasuk pembangunan infrastruktur bertaraf dunia, struktur pasukan yang mantap dan sokongan padu peminat.
Kelab yang berpangkalan di Selatan tanah air ini bukan sahaja mengubah landskap bola sepak tempatan, malah mencabar norma, meletakkan sasaran lebih tinggi dan membuktikan bahawa kelab Malaysia mampu bersaing di pentas elit Asia.






























