Jepun akan memperkenalkan liga ragbi profesional menerusi tiga divisyen dalam usaha meningkatkan mutu permainan domestik ke tahap yang baru mulai Januari 2022.
Format baru itu akan menggantikan struktur korporat ragbi semasa yang menampilkan Liga Top dengan 16 pasukan dan sembilan pasukan Liga Top Challenge.
Liga yang dirombak ini akan menyaksikan 25 pasukan diletakkan dalam tiga divisyen dengan 12 kelab teratas dibahagikan kepada dua divisyen.
Format ini akan menyaksikan “play-off” membabitkan kelayakkan dan penyingkiran diantara divisyen pada setiap musim serta kejohanan antara pemenang dalam dua divisyen teratas.
Kata Pengarah Pejabat Pembangunan Liga Baharu, Mayumi Taniguchi, ini membolehkan ragbi Jepun menjadi lebih kompetitif serta hasrat untuk menjadikan liga Jepun liga terbaik dunia.
Isu liga domestik negara matahari terbit itu mula diperdebatkan selepas Piala Dunia Ragbi 2019 apabila tuan rumah Jepun mara ke suku akhir buat pertama kalinya.
Ini diikuti apabila wakil tunggal kelab Jepun di kejohanan Super Rugby, Sunwolves dibubarkan tahun lalu sekaligus menimbulkan kebimbangan peluang pemain Jepun untuk mendapat pendedahan permainan di peringkat tertinggi terbantut.
Walaubagaimanapun, Pengerusi Kesatuan Bola Sepak Ragbi Jepun, Kensuke Iwabuchi menegaskan, format baru ini masih dalam fasa perbincangan dengan kesatuan dan liga dari luar Jepun.
Musim ini, Liga Top ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 di enam kelab bertanding. Oleh Siti Zafirah Kamal
- Advertisement -