Oleh Muhammad Aiman

Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei menerima perkhabaran ceria menjelang hari lahirnya yang ke-17 pada 30 Januari depan, apabila disenaraikan di dalam Program Podium.

Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira potensi bekas juara remaja dunia itu untuk memenangi pingat di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Selain pemain di ranking ke-31 dunia itu, turut disenaraikan di dalam Program Podium adalah lima pemain lain yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu iaitu perseorangan lelaki Iskandar Zulkarnain Zainudin, beregu lelaki Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan pasangan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

“Program Podium telah meluaskan kriteria pemilihan mereka. Pemain yang mempunyai potensi dan peluang memenangi pingat di temasya sukan besar seperti Komanwel, Asia dan Olimpik boleh dicalonkan,” ujar Norza yang juga Timbalan Presiden BAM selepas mesyuarat jawatankuasa latihan dan kejurulatihan BAM di Stadium Juara Bukit Kiara.

Sebelum ini, tujuh pemain badminton sudah sedia berlatih di bawah program tersebut iaitu Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem – Tan Wee Kiong, Vivian Ho – Woon Khe Wei dan Chan Peng Soon – Goh Liu Ying.

Dalam pada itu, Norza turut mengumumkan senarai pemain skuad negara yang akan beraksi di edisi sulung Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia yang akan berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam dari 14 – 19 Februari depan.

BAM juga turut menamakan senarai 18 pemain masing-masing lelaki dan wanita untuk menghadiri latihan persiapan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 – jumlah itu kemudiannya akan dikecilkan masing-masing kepada sembilan sebelum berlangsungnya temasya dwitahunan itu.

Selain itu, Norza juga berkata bahawa BAM akan memperkenalkan insentif khas kepada pemain-pemain untuk mengerah mereka terus bekerja keras meningkatkan ranking dunia, sebagai contoh menyediakan penerbangan kelas perniagaan (business class) seandainya mereka menduduki ranking dua terbaik dunia.

 

Senarai pemain Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia

Perseorangan lelaki : Iskandar Zulkarnain, Lim Chi Wing

Beregu lelaki : Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh Sze Wei-Nur Izuddin Ramsani

Perseorangan wanita : Goh Jin Wei, Ho Yen Mei

Beregu wanita : Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen

Beregu campuran : Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai

- Advertisement -