Kasma akan beraksi di CUb Prix dan CEV musim 2017
Kasma akan beraksi di Cub Prix dan CEV musim 2017.

Tahun 2017 merupakan tahun yang sibuk buat bintang Cub Prix, Kasma Daniel Kasmayuddin dalam usahanya untuk mempertahankan gelaran juara kebangsaan dan pada masa sama bakal melangkah ke saingan antarabangsa Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV.

Menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, hujung minggu ini, pelumba berusia 17 tahun dari pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor itu akan turun selaku juara kebangsaan dalam misi memburu gelaran juara pertama kelas CP150.

Dalam aksi saingan CEV Sepanyol, Kasma akan membawa cabaran pasukan yang dikenali PETRONAS Sprinta Racing di dalam kelas Moto3.

2016 PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix Championship - Kasma Daniel Kasmayuddin
Kasma Daniel Kasmayuddin menempuh jadual yang padat setelah terbang ke Itali bagi menyertai Kem Latihan VR46 buat kali kedua pada 2016.

“Tahun 2016 merupakan tahun terbaik saya. Selain memenangi gelaran di dalam negara, saya juga mendapat pendedahan berguna di dalam kelas Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia. Aksi cemerlang di saingan Asia membolehkan saya menerima peluang menjalani latihan di Akademi VR46 sebanyak dua kali,” jelas pelumba kelahiran Johor itu.

“Saya jangkakan tahun ini merupakan tahun yang agak mencabar. Di Cub Prix, buat pertama kali kami akan beraksi dalam kategori CP150 manakala ini juga merupakan aksi pertama saya menggunakan jentera Moto3. Saya masih dalam proses pembelajaran namun akan cuba sedaya upaya untuk cepat menyesuaikan diri.”

Selain Kasma, antara bintang Cub Prix yang pernah beraksi dalam dua kejuaraan serentak di Sepanyol dan di dalam negara ialan Khairul Idham Pawi pada tahun 2015.

- Advertisement -