Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memantau perkembangan semasa berhubung persiapan penganjur Sukan Olimpik 2020, Tokyo dan keputusan serta perbincangan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum memutuskan penyertaan atlet dan pegawai.

Menerusi kenyataan media, menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan pihaknya maklum IOC memutuskan untuk mengekalkan tarikh penganjuran Olimpik Tokyo 2020 meskipun timbul pelbagai reaksi susulan pandemik Covid-19 dan sistem kelayakan dan penundaan kejohanan kejohanan yang menawarkan mata dan ranking untuk layak ke sukan Olimpik.

“Oleh yang demikian, saya memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan soal dan aspek keselamatan dan kesihatan atlet negara dan pegawai diberi keutamaan yang tertinggi sebelum keputusan muktamad dibuat nanti berhubung dengan penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,”kata Datuk Sri Reezal.

IOC telah mengadakan persidangan menerusi video melibatkan semua pihak berkepentingan dalam Olimpik Tokyo 2020 termasuk wakil wakil badan induk sukan dunia, atlet dan pegawai berhubung status penganjuran sukan Olimpi yang dijadual bermula penghujung Julai depan.

“Saya juga mengambil maklum bahawa IOC telah mengadakan satu sesi video-conferencing baru-baru ini untuk mendapat pandangan dari 45 buah negara benua Asia melalui National Olympic Committee (NOC) masing-masing, dimana Malaysia telahpun diwakili oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang merupakan ahli gabungan IOC.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Presiden MOM sendiri bahawa undian sokongan tersebut adalah tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya pihak IOC akan berusaha membuat perubahan yang adil dalam proses kelayakan atlet-atlet.

Aspek  kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai menjadi kepentingan dan juga semua pihak terus memantau perkembangan terkini ancaman Covid-19 dari semasa ke semasa,”katanya lagi

Tambah Datuk Seri Reezal, pandangan daripada semua ahli gabungan akan diambil kira sebelum IOC membuat keputusan dan mengambil langkah langkah yang sewajarnya termasuk mengambilkira pandangan dan cadangan WHO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya pandemik global COVID-19 ini menjadi lebih serius dan tidak terkawal.

 

 

 

- Advertisement -