Nama penjaga gol PDRM, Bryan See Tian Keat secara tiba-tiba meniti di bibir peminat selepas mempamerkan aksi memukau ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila berjaya menangkis serangan bertali arus daripada lawan walaupun pasukannya tewas tipis 0-1 pada aksi ketiga CIMB Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Selasa.

Namun penjaga gol berusia 27 tahun itu merasakan masih terlalu awal mendapat pujian di mana dia tidak begitu gembira sepenuhnya kerana PDRM gagal mendapat sebarang mata dalam perlawanan berkenaan.

Perlawanan itu menyaksikan JDT masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah tetapi kemenangan itu pastinya bukan mudah untuk skuad kendalian Benjamin Mora apabila terpaksa bergelut mencari jaringan sehinggalah Diogo Luis Santo berjaya memecah kebuntuan pada minit-84.

“Walaupun pada awalnya saya berjaya menepis dan terkena tiang ketika sepakan penalti, tetapi ia masih belum cukup dan saya masih rasa agak kecewa sebenarnya.

“Apa terjadi sekalipun, saya tidak boleh berpuas hati dengan perlawanan ini kerana hakikatnya bola tetap masuk juga dan gol untuk pasukan JDT.

“Sudah pasti ia satu perkara yang bagus apabila saya mendapat kepercayaan sebegitu daripada jurulatih sendiri dan bagi saya, sekiranya beliau sudah meletakkan kepercayaan tinggi seperti itu, saya akan membalasnya dengan prestasi terbaik di atas padang, ” katanya.

Bryan berjaya memastikan gawang gol kekal utuh dan menyelamatkan lapan percubaan tepat ke arah gol oleh pasukan lawan pada babak pertama dan turut bekerja keras hampir sepanjang separuh masa kedua sebelum JDT akhirnya menemui gol kemenangan.

Bryan pada dua tahun lalu pernah meraih perhatian banyak pihak kerana turut cemerlang dalam dunia akademik ketika beraksi dengan PKNP FC.

Memiliki Ijazah Sarjana dalam Kejuteraan Awam dari Johns Hopkins University, Amerika Syarikat dan meraih keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Bryan membuktikan akademik tidak pernah menghalang kejayaan seseorang itu untuk turut berjaya dalam sukan.

Pada musim lalu, dia sempat merasai pengalaman selama enam bulan bersama kelab Divisyen Tiga Thailand, Bangkok FC sebelum menyertai PDRM pada jendela kedua pintu perpindahan pemain.

PDRM yang ketika ini masih kekal di dasar liga berdepan dua kekalahan berturut-turut perlu segera bangkit untuk mencari kemenangan pertama.

Namun, Bryan menyifatkan pasukannya masih mampu untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan akan datang berdasarkan semangat juang tinggi mereka setakat ini dan akan terus bertahan bagi memastikan mereka terus kekal dalam saingan Liga Super, musim depan.

“Bagi saya, tiada masalah untuk kami bankit kerana semua orang memang boleh nampak betapa tingginya semangat dan fokus pasukan ini dalam setiap perlawanan.

“Kalau kami boleh kekalkan kesungguhan macam ini sepanjang musim, saya rasa tiada masalah pun untuk kami kekal dalam saingan dan kami perlu bekerja dengan lebih keras selepas ini”, jelasnya.

Perlawanan keempat akan menyaksikan pasukan PDRM akan menentang UiTM FC pada Ahad ini di Stadium UiTM Shah Alam.

- Advertisement -