Kedah Darul Aman FC dan Kuching City FC bersedia untuk kembali beraksi selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu meskipun mengakui jadual padat yang perlu ditempuh.

Pindaan jadual Liga Malaysia 2021 telah dilakukan selepas lima perlawanan Liga Super membabitkan Kedah dan tujuh perlawanan Liga Premier melibatkan Kuching City terpaksa ditunda susulan terdapat kes positif COVID-19 dalam pasukan tersebut.

Menurut ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, beliau tetap berterima kasih kepada Malaysian Football League (MFL) atas usaha untuk membantu pasukan yang terlibat walaupun rayuan yang dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar hanya pemain positif sahaja dikuarantin ditolak.

Untuk itu, beliau dan barisan pemain akan terus bekerja keras untuk memastikan tiada lagi kes sebegini berlaku pada masa hadapan selain akan lebih tegas menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Liga Malaysia berlangsung.

“Kedah memahami MFL telah sedaya upaya membantu Kedah dalam hal ini dengan cuba melakukan rayuan agar pemain yang positif sahaja dikuarantin.

“Namun arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dihormati dan wajib diikuti dalam soal kuarantin pemain serta pegawai.

” Kami harap tidak ada lagi berlaku kes positif COVID 19, bukan sahaja membabitkan Kedah tetapi mana-mana pasukan lain kerana banyak rombakan terpaksa dilakukan kerana terpaksa dikuarantin.

“Mengenai jadual perlawanan, saya akui memang tiada pilihan buat Kedah selain mengharungi jadual yang telah disusun MFL biarpun nampak ketat.

“Namun saya faham tiada pilihan lain buat MFL dan harap semua pemain terbaik saya dapat diturunkan dalam tiap perlawanan yang kita harungi,”katanya.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Irfan Bakti pula mengharapkan barisan pemain akan terus komited untuk mengharungi perlawanan yang ada meskipun sedar tahap kecergasan sedikit terkesan.

Tetapi, mengambil kira perlawanan yang akan ditempuh berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Negeri diharap dapat membantu mengurangkan kepenatan pemain.

” Pasukan akan lebih berhati-hati dalam menjaga SOP dalam kalangan pemain serta pegawai selepas apa terjadi.

” Kami harap insiden sama tidak akan berulang lagi bagi memastikan kelancaran perlawanan Liga Malaysia serta mampu ditamatkan semua perlawanan.

” Mengenai jadual baharu perlawanan, biarpun jarak aksi yang akan diharungi nanti agak rapat dengan hanya berehat selama tiga ke empat hari namun kami akan lalui semua aksi di laman sendiri.

” Jadi saya harap situasi ini sedikit sebanyak boleh membantu pasukan dalam harungi 10 baki perlawanan serta memperbaiki kedudukan semasa Kuching di Liga Premier,” katanya.

Berdasarkan pindaan terbaharu Jadual Liga Malaysia 2021, perlawanan Liga Super ke-18 bermula pada 13 Ogos 2021 manakala perlawanan Liga Super ke-19 sehingga 22, ia akan berlangsung bermula 20 Ogos 2021 sehingga 12 September 2021.

Sementara bagi Liga Premier, aksi ke-18 berlangsung pada 15 Ogos 2021 dan pindaan berlaku pada perlawanan ke-19 sehingga 22 di mana ia akan berlangsung pada 20 Ogos 2021 sehingga 18 September 2021.

- Advertisement -