Lima perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia berlangsung pada Jumaat, menyaksikan juara bertahan Kedah serta Perak melakar kemenangan kedua, masing-masing di gelanggang lawan.

Kedah yang memulakan kempen menerusi kemenangan 2-0 ke atas Melaka pada Selasa lalu, berpesta gol di Shah Alam setelah menundukkan Uitm FC dengan jaringan 5-0.

Penyerang skuad B-22 kebangsaan, Syafiq Ahmad membuka jaringan seawal minit ketiga buat skuad bimbingan Nidzam Adha Yusoff sebelum pemain perancang, Liridon Krasniqi menggandakan kelebihan seminit sebelum berakhir separuh masa pertama.

Tambahan tiga jaringan buat Kedah hadir dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan menerusi Ken Ilso Larson (m-80), Sandro Mendonca (m-90) dan jaringan sendiri oleh pemain pertahanan Uitm, Faiz Bandong pada masa kecederaan.

Kemenangan membolehkan Lang Merah melonjak selaku pendahulu Kumpulan C dengan enam mata manakala Kelantan yang akan berdepan Melaka di Stadium Hang Jebat pada Sabtu pula di tempat kedua dengan tiga mata.

Di Stadium Selayang, Perak bimbingan Mehmet Durakovic menundukkan tuan rumah Kuala Lumpur 3-0 dan unggul mendahului Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.

Setelah terikat tanpa jaringan di babak pertama, The Boss Gaurus mengganas di separuh masa kedua dan sekali lagi penyerang baru mereka Gilmar Filho Da Silva muncul wira apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-58 dan 82 manakala satu lagi jaringan disumbangkan Leandro Dos Santos (m-72).

Aksi Kumpulan A di antara Negeri Sembilan dan T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pula berkesudahan penuh dramatik apabila jaringan penalti pada detik akhir perlawanan membantu pasukan pelawat bangkit mencatat keputusan seri 3-3.

Skuad Hoben Jang Hoben mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Bruno Suzuki (m-4) dan Jonathan Henry (m-24) namun T-Team berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui gol sendiri Annas Rahmat (m-54) dan penyudah Fakhrurazi Musa (m-75).

Negeri Sembilan dilihat hampir pasti mengutip tiga mata setelah Farderin Kadir menjaringkan gol ketiga pada minit ke-84 namun T-Team mencuri satu mata menerusi jaringan penalti disempurnakan Dilshod Sharafetdinov pada minit kelima masa kecederaan.

Sementara itu, jaringan sendiri oleh Afif Amiruddin pada minit ke-82 membantu PKNP FC mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pahang di Stadium Lumut. Pahang sebelum itu mendahului pada minit ke-52 menerusi jaringan Matheus Alves.

Satu mata yang diraih menyaksikan PKNP bimbingan Abu Bakar Fadzim kekal di tangga teratas dengan empat mata manakala Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing mengumpul dua mata.

Aksi tunggal Kumpulan D di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin antara Terengganu dan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim pula berkesudahan seri tanpa jaringan.

JDT yang menundukkan Sarawak pada perlawanan pembukaan berada di tangga teratas dengan empat mata manakala Terengganu di tempat kedua dengan dua mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -