jdt.fans

Kejayaan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) tahun lepas, membolehkan pasukan itu dipilih sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2015.

Anugerah berprestij kewartawanan sukan itu akan diadakan pada 13 April ini dan akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jaringan tunggal pemain tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan yang berlangsung pada 31 Oktober tahun lepas.

“Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) mengiktiraf perjuangan dan kejayaan JDT dalam kempen Piala AFC tahun lalu.

“Mereka telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam arena sukan sekiranya semua yang terlibat memegang visi yang sama. SAM mengucapkan tahniah dan semoga terus berjaya dalam kempen-kempen selepas ini,” kata Naib Presiden merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Anugerah SAM-100PLUS 2015 Norismadi Abdul Manap.

Anugerah Khas 100PLUS ini mula diperkenalkan dalam Anugerah SAM-100PLUS pada 2011.

 

Senarai penerima Anugerah Khas 100PLUS terdahulu:

2011 – Pasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 tahun – Piala AFF-Suzuki 2010

2012 – Skuad bola sepak Skuad Harimau Muda – Sukan SEA 2011

2013 – Mohd Zulfahmi Khairuddin – Kejohanan Moto3 Dunia 2012

2014 – Skuad hoki remaja – Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013

2015 – Pasukan skuasy wanita – Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2014

- Advertisement -