Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus merangka pertandingan dalaman untuk memastikan kesemua pemain kekal ditahap optimum.
Selepas tamat saingan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir pada Sabtu. BAM akan menganjurkan pertandingan Kejohanan Berpasukan Campuran BAM 2020.
Jelas Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, pertandingan ini akan melibatkan 124 pemain senior dan remaja dimana mereka akan dipecahkan kepada empat pasukan.
Pertandingan ini berkonsepkan format seperti saingan Piala Sudirman dengan 11 perlawanan akan dilangsungkan melibatkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, bergu lelaki, bergu wanita , bergu campuran dan acara tiga sepasukan (3’s) lelaki dan wanita.
“Kita membuka peluang kepada pemain pemain remaja untuk berlawan dengan mana mana pemain senior dengan harapan mereka dapat merasai pengalaman ini dan berusaha dengan lebih gigih.
“Gandingan pasukan yang terdiri daripada pemain senior dan pemain remaja bertujuan untuk beri peluang kepada semua pemain untuk merasai suasana pertandingan susulan ketiadaa pertandingan ketika ini.
“Sudah tentu kami mahu membina semangat berpasukan dan membentuk kerjasama dikalangan pemain senior dan remaja,” kata Choong Hann.
Tambahnya lagi, pertandingan ini bukan bermatlamatkan untuk mempersiapkan mana mana pemain untuk ke kejohanan antarabangsa pertama yang dijadual berlangsung pada Januari tahun depan.
Tetapi Choong Hann percaya, menerusi program latihan dan pertandingan dalaman yang telah dirangka oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan BAM ketika ini adalah dilandasan yang terbaik.
“Kita tidak risau untuk menyediakan pemain pemain menjelang pertandingan pada Januari 2021 kerana kita harus bersedia dengan apa sahaja yang akan berlaku.
“Tidak perlu risau dengan situasi semasa kerana jika tumpuan diberikan sepenuhnya sepanjang sesi latihan, ia hampir sama seperti ketika pertandingan,” kata Choong Hann.
Kejohanan Berpasukan Campuran BAM 2020 akan bermula dari 23 hingg 25 November di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Empat pasukan tersebut adalah Terminators, Avengers, Transformers dan Dominators dan setiap pasukan akan diuruskan oleh barisan kejurulatihan.
Setiap pasukan terdiri daripada 31 pemain senior dan remaja.