Football Association of Malaysia (FAM) Logo - 230x250Berikut beberapa ketetapan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi sesi 2014-2018 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi seperti dinyatakan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Afandi Hamzah pada sidang media sejurus mesyuarat itu berakhir.
 
1. Jawatankuasa Eksekutif FAM memutuskan bahawa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara FAM dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) pada tahun 2011 yang berakhir pada tahun ini tidak akan dilanjutkan bagi memelihara kepentingan kedua-dua belah pihak.
Ini bermakna, pasukan jemputan dari Singapura iaitu Lions XII tidak akan lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim 2016.
 
2. Bagi mengisi satu kekosongan tempat ditinggalkan Lions XII dalam saingan Liga Super 2016, satu perlawanan playoff akan diadakan antara pasukan tempat ke-11 Liga Super 2015, ATM menentang pasukan tempat ke-3 Liga Premier 2015, T-Team.
 Perlawanan playoff ini akan diadakan hanya satu perlawanan saja yang mana venue dan tarikhnya akan ditetapkan oleh Football Malaysia LLP (FMLLP) dalam masa terdekat.
 
3. ATM dan T-Team sepatutnya akan beraksi dalam Liga Premier 2016. Namun apabila salah satu pasukan itu perlu menggantikan Lions XII dalam Liga Super 2016, maka satu kekosongan slot dalam Liga Premier 2016 akan diisi oleh Kuala Lumpur yang pada asalnya telah turun ke Liga FAM 2016 kerana menduduki tangga kedua tercorot Liga Premier 2015.
 
4. Dua opsyen tarikh sepak mula Liga-M 2016 iaitu sama ada pertengahan Januari 2016 atau pada Februari 2016 akan ditetapkan selepas kedua-dua opsyen itu dibentangkan pada satu bengkel khas melibatkan pasukan-pasukan bertanding dalam masa terdekat ini bagi mengambil kira pandangan semua pihak.
 
5. Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM telah mencadangkan program Harimau Muda tidak lagi diteruskan dan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM malam tadi bersetuju dengan cadangan berkenaan. Para pemain Harimau Muda B dan Harimau Muda C akan dikembalikan ke negeri masing-masing.
 Namun memandangkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, satu pasukan projek khas dinamakan Projek Sukan SEA 2017 akan dikumpulkan tetapi ia hanya untuk persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 yang melibatkan pemain bawah 23 tahun.
 
6. Bagi jawatan ketua jurulatih B-23 negara yang akan mengendalikan skuad Projek Sukan SEA 2017 itu, tiga calon akhir telah disenarai pendek dan panel pemilihan akan menemuduga mereka pada minggu hadapan sebelum Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM mengumumkannya segera tanpa perlu menunggu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM berikutnya.
 
7. Datuk Ong Kim Swee akan kekal sebagai ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan sehingga pemilihan ketua jurulatih tetap skuad kebangsaan dibuat pada penghujung Disember 2015 atau awal Januari 2016.
 
8. Pecahan peratusan pengagihan hasil perolehan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim 2016 kepada pasukan-pasukan bertanding akan diberikan sekurang-kurangnya 40 peratus, peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding 30 peratus seperti yang dicadangkan sebelum ini.
 
9. Status Pahang sebagai naib juara Liga Super 2015 telah dilucutkan kerana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru saja menghantar surat mengarahkan FAM untuk memotong enam mata Pahang dalam saingan liga domestik musim ini.
 Ia disebabkan kelewatan Pahang dalam proses menyelesaikan masalah gaji dan pampasan oleh bekas pemain importnya pada musim 2013, Mohamed Borji.
 Dengan itu, Pahang kini jatuh ke tempat ketiga dan Selangor pula naik ke tempat kedua Liga Super 2015 di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
 
10. Selangor akan menjadi wakil Malaysia ke saingan Piala AFC 2016 bersama-sama JDT. FAM akan memaklumkan perkara ini kepada pihak AFC untuk mencalonkan Selangor sebagai pasukan yang menggantikan tempat Pahang menerusi slot selaku naib juara Liga Super.
 
11. Berhubung kedudukan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden FAM, baginda telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya itu.
 Namun Jawatankuasa Eksekutif FAM malam tadi tidak membuat sebarang ketetapan dan memohon satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan hasrat baginda itu. Buat masa ini, baginda masih kekal sebagai Presiden FAM sehingga satu ketetapan dicapai pada mesyuarat khas itu nanti.
 
12. Liga Bolasepak Rakyat (LBR) yang pada peringkat awal proses permulaannya dipantau FAM, kini dilihat sudah mampu berdiri sendiri menerusi sekretariatnya.
 
Justeru, segala peruntukan kewangan, penajaan dan pengurusan LBR kini akan diserahkan kepada sekretariat mereka dengan syarat mereka perlu menghantar laporan bulanan kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk kejohanan itu terus diberi pengiktirafan oleh FAM.
- Advertisement -