kim.swee

Oleh Muhammad Aiman

Skuad Harimau Malaysia akan turun menentang Myanmar dalam aksi persahabatan malam ini tanpa kelibat pemain tengah paling prolifik ketika ini, Safiq Rahim namun pengendali skuad kebangsaan Dato’ Ong Kim Swee tidak mahu melihat ia sebagai satu kehilangan besar.

Sebaliknya, Kim Swee melontarkan cabaran buat pemain lain untuk membuktikan kemampuan dengan mengisi sebaiknya kekosongan yang ditinggalkan pemain tengah Johor Darul Takzim itu dan merebut kepercayaannya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama apabila berdepan Timor Leste dalam aksi playoff kelayakan Piala Asia.

Kim Swee berkata, “Kita bukan sahaja tiada Safiq tetapi beberapa lagi pemain lain. Memang ia satu kekurangan tetapi saya akan gunakan barisan pemain terbaik yang saya miliki. Walaupun sasaran kita adalah perlawanan menentang Timor Leste yang cukup penting untuk melayakkan diri ke peringkat kumpulan, tetapi kita tidak akan mengambil mudah perlawanan menentang Myanmar.

“Perlawanan esok (malam ini) adalah penting untuk menentukan kombinasi tertentu, di pertahanan juga serangan. Pemain dari JDT baru sahaja tiba semalam manakala pemain lain sudah bersama lima hari. Perlawanan Myanmar, peluang untuk saya melihat secara keseluruhan apa yang telah dilakukan ketika latihan dan seterusnya untuk saya mendapat gambaran awal kesebelasan utama menentang Timor Leste.”

Kim Swee berdepan tugas getir untuk mengembalikan kepercayaan peminat yang kecewa dengan aksi hambar ketika Malaysia sekadar mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang barisan amatur Macau pada Mac lalu.

Ini memaksa pengendali kelahiran Melaka itu melakukan rombakan pada hampir keseluruhan skuad dengan menggugurkan beberapa pemain regular dan memanggil beberapa wajah lama antaranya Amirulhadi Zainal, Mahali Jasuli dan Zaquan Adha (yang sebelum ini tiada dalam senarai menunggu).

Justeru, menentang Myanmar Kim Swee menegaskan ia bukan sahaja penting untuk menentukan kombinasi serta keserasian antara pemain, tetapi juga penting untuk meraih keputusan positif apatah lagi pada pengamatannya Myanmar telah menunjukkan peningkatan yang cukup baik sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Myanmar pasukan yang lebih baik ketika ini, saya telah menonton perlawanan mereka menentang Lebanon (kelayakan Piala Asia 2019) dan mereka bermain cukup baik. Myanmar dibentuk barisan pemain muda yang begitu bersemangat tinggi dan mahu membawa mereka ke satu aras yang lebih tinggi,” jelas Kim Swee.  

Sementara itu, Aidil Zafuan Abdul Razak yang akan menggalas tanggungjawab selaku ketua pasukan ekoran ketiadaan Safiq berjanji akan menunjukkan prestasi dan komitmen terbaik sambil menegaskan ini adalah peluang terbaik buat rakan sepasukan untuk memikat perhatian Kim Swee bagi disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Timor Leste.

“Kita akan tunjukkan sesuatu, ini adalah masa terbaik untuk membuktikan kepada jurulatih. Bukan sahaja pemain lain, tetapi saya sendiri akan buat yang terbaik dan memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan sebaik mungkin,” kata Aidil pada sidang media pra perlawanan.

Selepas perlawanan menentang Myanmar malam ini, skuad negara akan pulang ke tanah air untuk persiapan terakhir menentang Timor Leste dalam aksi timbal balik, kedua-duanya di Larkin pada 2 dan 6 Jun depan.

- Advertisement -