Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menafikan bahawa dia menolak peluang untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan yang akan berlangsung Mac depan di Birmingham, sepertimana dinyatakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Justeru, pelari kelahiran Melaka itu berasa hairan dengan tindakan KOM membuat keputusan menggugurkan namanya dan menggantikan slot wildcard yang diberi kepadanya itu dengan atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail.

ā€œSaya tidak tahu apa yang terjadi, saya tidak pasti sama ada ia keputusan jurulatih atau KOM. Memang saya tidak diberitahu apa-apa, mana mungkin saya mahu menolak apatah lagi saya sudah membuat persiapan walaupun ianya jarak pendek (60m).

ā€œAgak kecewalah tapi saya akur, ia mungkin bukan rezeki saya, saya tidak akan berputus asa dan berusaha lebih keras,ā€ ujar Khairul Hafiz yang memenangi pingat emas acara riben biru 100m, di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu dengan catatan masa 10.38s.

Rabu lalu, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata badan induk itu memutuskan menghantar Hakimi beraksi di kejohanan memandangkan tiada kata putus diberikan jurulatih Khairul Hafiz, Mohd Poad Kasim sehingga tarikh tutup pendaftaran nama menerusi slot wildcard pada 1 Disember lalu.

Karim menegaskan bahawa ianya satu kerugian besar buat Khairul Hafiz walaupun dia tidak akan beraksi dalam acara pecut, namun ianya dikhabarkan Mohd Poad mahu Khairul Hafiz memberi fokus kepada persiapan untuk beraksi di Kejohanan Pra-Sukan Asia yang akan berlangsung pada Februari depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -