Buat julung-julung kalinya, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Kelab Diraja Selangor (RSC) akan menjalinkan kerjasama dalam menganjurkan Kejohanan Hoki Antarabangsa Veteran 9’s 2022 yang akan berlangsung di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara pada 18 hingga 20 November 2022.

Selain penganjuran kejohanan veteran, satu lagi kejohanan yang akan dianjurkan pada masa yang sama adalah Kejohanan Bawah 12 tahun di mana kedua-dua kejohanan ini akan dimainkan di padang rumput, tidak seperti kebiasaan di Padang Astro Turf.

Perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal hari ini dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden KHM, Prof Dato’ Dr. S. Shamala, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu, dan Pengerusi Penganjuran RSC Hoki 9s, En. Oommen Koshy.

Jelas Dato’ Sri Subahan Kamal, idea untuk menjalinkan kerjasama dengan salah satu kelab terkemuka di Malaysia dalam menganjurkan Kejohanan Veteran telah tercetus sejak tahun 2015 dan penganjuran kali ini merupakan sesuatu yang diluar kebiasaan KHM di mana kebiasaannya KHM hanya menganjurkan kejohanan yang diwakili oleh negeri-negeri yang bernaung di bawah kelolaan KHM.

“Kejohanan veteran bukan platform untuk mengcungkil bakat tetap penganjuran kejohanan ini memberi peluang kepada pemain hoki veteran sama ada di dalam Malaysia mahupun di luar negara untuk bermain hoki.

“Pemilihan RSC sebagai rakan kerjasama bagi penganjuran Kejohanan Hoki Veteran 9s 2022 adalah kerana RSC merupakan salah sebuah kelab yang tertua di Malaysia selain mereka telah menganjurkan banyak aktiviti sukan di Malaysia.

“Saya dengan rendah diri telah bertemu dengan wakil daripada RSC dan satu kata sepakat telah dicapai di mana KHM dan RSC akan menganjurkan Kejohanan Hoki Antarabangsa Veteran yang akan diambil bahagian oleh negeri-negeri di dalam naungan KHM iaitu 16 negeri.

“Selain itu pihak RSC akan turut menjemput kelab-kelab mereka sendiri sama ada di dalam Malaysia mahupun di luar negara. Kejohanan ini tidak tertumpu kepada penglibatan daripada pasukan negeri sahaja tetapi juga terbuka kepada mana-mana kelab hoki di dalam Malaysia mahupun di luar negara.

“Saya yakin formula kerjasama yang telah dibentuk ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak sama ada kami di KHM juga peminat dan pemain sukan hoki yang telah berusia.

“Selain itu pada hari pertama penganjuran kejohanan, akan dilangsungkan kejohanan hoki bawah umur (B-12) di mana kami akan menggalakkaan pasukan-pasukan yang bernaung di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) mahupun sekolah-sekolah yang berminat untuk mengambil bahagian,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal

- Advertisement -