KLHC (2)

Oleh Muhammad Aiman

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menundukkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 2-1 dalam aksi pembuka tirai Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk pada Jumaat, sekaligus muncul juara Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut setelah melakukannya pada 2014 dan 2015.

Di sebalik kejayaan melakar hatrik Piala Sumbangsih, ketua jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al-Rashid Samri berpendapat apa yang lebih penting adalah barisan pemainnya memulakan kempen musim baru dengan meraih tiga mata.

“Bagi saya, kejayaan memenangi Piala Sumbangsih tidak terlalu penting. Yang paling penting ialah kami dapat meraih tiga mata penuh. Setiap pemain faham betapa pentingnya perlawanan pada minggu ini kerana selepas THT, kita akan bertemu Sapura pula.

“Sebab itu kami memang mahu meraih tiga mata di sini. Harap dengan kejayaan pertama ini, ia mengurangkan tekanan sedikit kepada pemain apabila bertemu Sapura. Sebab di atas kertas Sapura sememangnya dilihat antara pencabar utama tahun ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

KLHC mendahului pada minit ke-14 menerusi jaringan padang pemain import Jelte van Gennip sebelum Meor Muhammad Azuan Hassan menambah gol kedua, juga menerusi jaringan padang dua minit selepas itu.

Nicolas Enrique Della Torre merapatkan jurang apabila menjaringkan gol padang minit ke-26 buat THT, namun ia tidak memadai untuk menghalang kemenangan buat KLHC.

Sementara itu di Stadium Hoki Tun Razak, Sapura seperti dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-0.

Gol buat Sapura dijaringkan oleh Faridzul Afiq menerusi jaringan padang sebelum Izad Hakimi Jamaluddin menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti minit ke-10, dan Azrul Hasbullah menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan padang minit ke-49.

“Pemain melaksanakan tugas mereka dengan baik dan saya amat gembira dengan persembahan hari ini apabila dapat meraih mata penuh,” ujar ketua jurulatih Sapura, Yahya Atan.

Manakala dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Pantai, Maybank menewaskan TNB 4-3.

- Advertisement -