
Kontinjen Malaysia mempamerkan prestasi semakin meyakinkan pada saingan hari ketiga Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 hari ini dengan menambah tujuh pingat emas menerusi acara olahraga, karate, snuker dan gimnastik artistik.
Ia pencapaian ketara berbanding tiga pingat emas yang diraih semalam, sekali gus membayangkan momentum yang semakin meningkat bagi kontinjen negara.
Malaysia membuka tirai emas menerusi acara baling tukul besi apabila Grace Wong mencatat lontaran sejauh 65.41m untuk menghadiahkan emas pertama.
Rentak kemenangan diteruskan apabila atlet berusia 24 tahun Nani Sahirah Maryata, menghasilkan lontaran kemas untuk merangkul emas dalam acara lontar peluru wanita.
Di arena karate, Shahmalarani Chandran menewaskan Nguyen Thi Thu dari Vietnam untuk mempertahankan emas acara kumite wanita 50kg sebelum rakan sepasukan Kaliana Sundram Thevendran menambah satu lagi emas mengatasi pesaing dari Brunei, Md Hasimudin Ahmad Munib, dengan keputusan 11–2 dalam final kumite lelaki 50kg.
Dalam gimnastik artistik, Muhammad Sharul Aimy menyerlah dengan jumlah 13.833 mata untuk merangkul emas acara lompat beralas lelaki, manakala bakat muda berusia 17 tahun, Yap Kang Xian, mempamerkan rutin bertenaga untuk muncul juara acara palang imbangan wanita dengan 13.233 mata, mengatasi pencabar dari Singapura dan Filipina.
Emas ketujuh Malaysia disumbangkan Thor Chuan Leong, yang menang bergaya dalam acara snuker 6-Red perseorangan lelaki.
Malaysia turut meraih jumlah pingat podium yang tinggi hari ini dengan 13 perak dan 21 gangsa dalam acara menembak, woodball, kriket, olahraga, pétanque, karate, renang dan taekwondo. Ini meletakkan Malaysia di kedudukan keenam keseluruhan dengan 10 pingat emas, di belakang Thailand dengan 66 emas, Vietnam (24), Indonesia (20), Singapura (15) dan Filipina di kedudukan kelima dengan 11 emas.
Kem badminton negara turut menerima suntikan semangat apabila harapan menuai pingat terus terbuka dalam acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita serta beregu campuran.
Pemain pilihan keempat, Leong Jun Hao mara ke separuh akhir selepas menewaskan Panitchaphop Teeraratsakul dari Thailand 21–18, 21–16. Rakan senegara, Justin Hoh, turut melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan Kantaphon Wangcharoen 21–15, 21–17.
Dalam perseorangan wanita, Wong Ling Ching mengesahkan slot separuh akhir selepas menewaskan Ni Kadek Dhinda Amartya Pratiwi dari Indonesia 21–11, 21–17. Beliau bakal berdepan tentangan sengit menentang pilihan kedua dan pemain pilihan tuan rumah, Ratchanok Intanon.
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, pula mara bergaya selepas mengatasi pasangan Thailand, Supak Jomkoh/Kittinipong Kedren 21–16, 21–11, sekali gus sedia berentap menentang menentang beregu pilihan keempat Indonesia, Leo Rolly Carnando/Bagas Maulana di semifinal.
Beregu wanita No.2 dunia, Pearly Tan/Thinaah Muralitharan, turut melangkah ke separuh akhir dan berdepan pasangan Indonesia, Rachel Allessya Rose/Febi Setianingrum esok.
Dalam beregu campuran, pilihan utama Chen Tang Jie/Toh Ee Wei mara selepas menundukkan pasangan Singapura Terry He/Jia Yu Jin 21–12, 21–14. Mereka bakal bertemu gandingan pilihan keempat Thailand, Ruttanapak Oupthong/Jhenicha Sudjaipraparat.
Sementara itu, gandingan ternama Thailand, Dechapol Puavaranukroh/Supissara Paewsampran, menyerlahkan kelas tersendiri dengan kemenangan 21–12, 21–15 ke atas pasangan Malaysia, Hoo Pang Ron/Cheng Su Yin.
Saingan semakin sengit pada hari keempat esok dengan 72 pingat emas ditawarkan dalam 23 acara, menjanjikan satu lagi hari penuh aksi buat kontinjen Malaysia.




























