Kuala Lumpur menguasai Kumpulan D Perempuan Bawah 16 Tahun Kejohanan Berpasukan Antara Negeri 100PLUS 2023 selepas meraih kemenangan kedua di Dewan Badminton PBA di Bukit Dumbar, Pulau Pinang.

Susulan daripada kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan semalam, KL mencatatkan satu lagi kemenangan 2- ke atas pasukan Perak.

Kuala Lumpur mengutip mata pertama mereka apabila Lee Weng Yan melakar kemenangan dalam Perseorangan Perempuan apabila dia mengalahkan Jaclyn Lee Jia Ning 21-9, 21-18 dalam masa 23 minit sahaja.

Bagaimanapun, Perak bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Beregu Perempuan dengan Leong Jing Ee-Cheng Pei En mempamerkan aksi bertenaga untuk menang 21-10, 19-21, 21-14 ke atas Alysha Jeffery-Ong Xin Ru.

Dalam acara penentuan Perseorangan Perempuan, Teoh Sue Mei mengekalkan semangat untuk memberikan Kuala Lumpur mata kemenangan apabila menangkis cabaran Nur Aina Maisarah Muhamad Hatta 22-20, 21-19.

Dalam perlawanan lain Kumpulan D, Terengganu mengalami kekalahan 2-1 kepada Negeri Sembilan.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut Terengganu selepas akur 3-0 di tangan Perak pada hari sebelumnya.

Dan hari ini, tim dari pantai timur tidak dapat mempamerkan persembahan baik apabila Dayana Farisha Rizuan Sahari tumbang 13-21, 16-21 kepada Zi Rong Ayu dalam Perseorangan Perempuan.

Negeri Sembilan kemudian mengutip mata kedua dalam Beregu Perempuan di mana Heng Zi Yan-Lee An Yun Lee menang 21-14, 21-17 ke atas Goh Sze Qi-Lion Jie Ling dalam masa 26 minit.

Bagaimanapun, Nur Shahira Nabila Mohd Rozi memperolehi sedikit saguhati untuk Terengganu dalam Perseorangan Perempuan selepas menumpaskan Tan Shi Ni 17-21, 21-10, 21-12.

Sementara Terengganu akan menentang Kuala Lumpur dalam perlawanan terakhir Kumpulan D esok, Perak akan menentang Negeri Sembilan.

- Advertisement -