Kuartet 4x100m wanita negara mencipta sensasi berganda apabila bukan sahaja mengejutkan kuartet pilihan tuan rumah, Thailand untuk memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Padang Thailand, tetapi turut memperbaharui rekod kebangsaan. 
Dalam perlumbaan berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Thammasat itu pada Khamis, kuartet gandingan Shereen Samson Vallabouy, Siti Fatimah Mohamed, S.Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli meraih emas dengan catatan masa 45.19s. 
Ia sekaligus memadam rekod terdahulu 45.32s dilakukan kuartet Zaidatul, Siti Fatimah, Komalam dan Nurul Faizah Asma Mazlan di Kejohanan Terbuka Singapura pada April tahun lalu.
Pecutan bertenaga Zaidatul yang memintas pelari terakhir Thailand pada jarak 10m terakhir perlumbaan menghadiahkan kemenangan manis ini sekaligus menyaksikan tuan rumah yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Singapura 2015, berpuas hati dengan pingat perak. 
“Ianya cukup mengujakan kerana kami melakukannya di tempat mereka malah Thailand telah mendominasi acara lari berganti-ganti di rantau Asean untuk tempoh lama. 
“Latihan selama dua bulan di Pretoria (Afrika Selatan) nampaknya membuahkan hasil.  Kami berharap dapat mengekalkan konsistensi ini di Kejohanan Terbuka Malaysia Julai nanti dan sasaran kami kini adalah untuk meraih pingat emas di Sukan Sea KL 2017,” kata Zaidatul yang memenangi pingat perak acara 100m pada Isnin.
Sementara itu, Malaysia turut menambah sebutir pingat perak dan sebutir gangsa pada hari terakhir saingan. 
Pingat perak hadir menerusi gandingan Fatin Faqihah Md Yusof, Shereen, Nurul Faizah dan M.R Thanalaksiumy dalam acara 4x400m, dengan catatan masa 3:48.52s. 
Manakala gangsa pula dari acara 4x100m, gandingan Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap, Aqil Yasmin dan Khairul Hafiz Jantan dengan catatan masa 40.02s. 
Malaysia mengakhiri kejohanan selama empat hari itu dengan kutipan empat emas, sembilan perak dan empat gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -