khairy-2

Oleh Ku Mohd Lufti

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu penganjur bagi dua kejohanan bertaraf antarabangsa yang berlangsung di Malaysia, Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Piala Monsun mencari dana sendiri.

Ini kerana dua penganjur bagi kejohanan ini bakal berdepan pengurangan peruntukan daripada kerajaan

Jelas Khairy, jumlah pengurangan masih belum lagi diputuskan dan akan dibincangkan dalam masa terdekat.

“Bagi LTdL tahun depan, KBS tidak mempunyai peruntukan yang besar kerana banyak tumpuan kita terpaksa berikan kepada penganjuran Sukan SEA 2017.

“Begitu juga dengan penganjuran Piala Monsun di Johor, kemungkinan kita hanya dapat memberi geran yang sangat-sangat kecil. Kedua-dua penganjur perlu mencari dana penajaan daripada luar (sektor swasta),” kata Khairy Jamaluddin.

Beliau juga mengharapkan penganjur bagi perlumbaan jelajah berbasikal dan kapal layar itu tidak terus mengharap bantuan kerajaan untuk membantu mereka sekiranya berhadapan masalah kewangan.

“Ini juga satu perkembangan baik kalau dilihat secara positif untuk sukan, sebab akhirnya penganjuran acara besar seperti ini perlu dapat sokongan daripada sektor swasta, dan tidak semestinya kerajaan.

“Kita boleh beri sikit tapi jangan harapkan penganjuran daripada dana kerajaan sahaja sebab ini acara persendirian,” katanya.

- Advertisement -