Perlumbaan terbesar di rantau Asia, Le Tour de Langkawi kembali dengan 10 peringkat menanti para pelumba pertengahan Mac depan dimana pendakian ke Cameron Highlands menjadi tumpuan bagi jelajah berbasikal berstatus 2.HC. 

Perlumbaan akan bermula dari Kangar dan perlumbaan yang memasuki edisi ke 23 tahun ini bakal berlangsung selama 10 hari bermula 16 hingga 25 Mac, dan majlis memperkenalkan pasukan pasukan yang bertanding akan dilangsungkan di Pulau Langkawi, pada 14 Mac, dua hari sebelum perlumbaan bermula. 

Perlumbaan tahun ini akan dianjurkan oleh Ciclista Sports Sdn Bhd.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin di Menara KBS di Putrajaya hari ini. 

Sejak 2015, saingan LTdL berlangsung melibatkan lapan berbanding 10 peringkat perlumbaan namun statusnya sebagai Hors Class masih dikekalkan. 

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M. Kumaresan berkata rasional penambahan dua peringkat bagi tahun ini adalah untuk menambahkan lagi kerancakkan dan menjadikan perlumbaan LTdL sebagai antara yang sukar dan mencabar. 

“Bagi saingan 2018, Kami berharap untuk menjadikan perlumbaan ini lebih kompetitif …para pelumba perlu bersedia untuk melengkapkan perlumbaan sejauh lebih 1500 km. 

“Dengan kembalinya 10 peringkat perlumbaan, kami berharap empat wakil dari Malaysia, iaitu Terengganu Cycling (TSG), Sapura Cyling (TSC) & pasukan berstatus benua baru, Forca AmSkin Racing serta pasukan kebangsaan mampu bersaing sekaligus meraih podium” tambah M.Kumaresan lagi. 

Seperti edisi sebelum ini, Le Tour de Langkawi 2018 dijangka menarik perhatian pasukan berstatus Pro Tour, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan dari benua Eropah, Amerika, Asia dan Oceania. 

Malaysia juga dijangka memberi cabaran sengit bagi tahun ini menerusi penyertaan tiga pasukan berstatus benua dan satu pasukan kebangsaan bagi saingan LTdL tahun ini. 

Laluan bagi 2018 bakal meliputi kawasan kawasan di pantai Barat dan Timur semenanjung Malaysia, bermula dengan laluan landai sejauh 117 km dari Kangar menuju ke Kuala Ketil di Kedah pada 16 Mac. 

Peringkat kedua (17 Mac) pula bakal disajikan dengan jarak kedua terpanjang 207km dari Gerik, Perak dan perlumbaan dijangka tamat secara kelompok besar di depan Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, Kelantan. 

Pada 18 Mac, Perlumbaan peringkat ketiga pula melibatkan kayuhan sejauh 166km dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, disusuli 177.6km bagi peringkat keempat (19 Mac) dari Dungun ke Pekan, Pahang dan ia bakal menjadi tumpuan pakar-pakar pecut sebelum pendakian mencabar menuju ke Cameron Highlands bermula. 

Perlumbaan peringkat kelima (20 Mac) bermula dari Raub di Pahang, para pelumba akan bersaing menuju ke pendakian Hors Class di Cameron Highlands buat kali ketiga berturut turut melalui Batu Malim, Kg Sempam Baru, Kg Cheroh, Kg Baru Malam, Lembah Bertam, Ringlet dan tamat di Tanah Rata, melengkapkan jarak sejauh 140.4km.  

Pada keesokan harinya (21 Mac), perlumbaan dengan jarak 119km bermula dari Batu Gajah menuju ke Taiping, Perak. 

Ia disusuli laluan sejauh 157.1km bagi saingan peringkat ke tujuh (22 Mac) dimana pelumba akan berkayuh dari Tapah, Perak dan tamat di Kapar, Klang.  

Putrajaya menjadi destinasi bagi saingan peringkat kelapan (23 Mac) dengan jarak paling pendek bagi LTdL 2018, 106.8km menuju ke Rembau, Negeri Sembilan. Saingan peringkat ke sembilan pula akan menjadi laluan terpanjang, 218.9km merentasi tiga negeri, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dimana perlumbaan berakhir di Batu Pahat. 

Peringkat terakhir (25 Mac) bagi LTdL 2018 bakal dinoktahkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dimana perlumbaan pada 25 Mac bakal bermula dari Senawang, Negeri Sembilan dengan jarak 134.4km. 

JADUAL DAN LALUAN LE TOUR DE LANGKAWI 2018  

Rabu, 14 Mac 2018 – Pengenalan Pasukan (Pulau Langkawi) 

Jumaat, 16 Mac 2018, Peringkat 1 Kangar – Kuala Ketil (117km) 

Sabtu, 17 Mac 2018, Peringkat 2 Gerik – Kota Bharu (207km) 

Ahad, 18 Mac 2018, Peringkat 3 Kota Bharu – Kuala Terengganu (166km) 

Isnin, 19 Mac 2018, Peringkat 4 Dungun – Pekan (177.6km) 

Selasa, 20 Mac 2018, Peringkat 5 Raub – Cameron Highlands (140.4km) 

Rabu, 21 Mac 2018, Peringkat 6 Batu Gajah – Taiping (119km) 

Khamis, 22 Mac 2018, Peringkat 7 Tapah to Kapar (157.1km) 

Jumaat, 23 Mac 2018, Peringkat 8 Putrajaya – Rembau (106.8km) 

Sabtu, 24 Mac 2018, Peringkat 9 Port Dickson – Batu Pahat (218.9km) 

Ahad, 25 Mac 2018, Peringkat 10 Senawang – Kuala Lumpur (134.4km)  

Jumlah Jarak Keseluruhan : 1,537.2km 

- Advertisement -