mas-2

Oleh Muhammad Aiman

Buat kali keempat berturut-turut, Malaysia berdepan situasi wajib menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan jika mahu meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.

Dengan Vietnam sudahpun mengesahkan tempat mereka hasil dua kemenangan, skuad negara membawa misi hidup-mati untuk merebut satu lagi slot separuh akhir apabila turun menentang Myanmar yang hanya memerlukan seri di Stadium Thuwanna, Yangon pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan mengumpul tiga mata, namun Myanmar mempunyai perbezaan jaringan yang lebih baik, manakala Kemboja tanpa sebarang mata berada di kedudukan tercorot.

Ianya situasi hampir sama dengan edisi sebelum ini di mana pada 2014, Malaysia melangkah ke separuh akhir setelah menundukkan Singapura 3-1 pada aksi terakhir manakala pada 2012 mereka menundukkan Indonesia 2-0 dan pada 2010, skuad negara mara setelah membaham Laos 5-1.

Justeru, penyerang veteran, Safee Sali yang beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut berpendapat Harimau Malaysia mempunyai kualiti diperlukan untuk melakukannya sekali lagi.

“Peluang kita masih terbuka, di atas kertas laluan kita ke separuh akhir kelihatan sukar tetapi jika melihat kepada aksi yang kita tunjukkan ketika menundukkan Kemboja (3-2) dan tewas (0-1) kepada Vietnam, saya positif dengan peluang kita apabila berdepan Myanmar dan percaya kita akan teruskan kemaraan.

“Kita pernah melakukannya sebelum ini, kenapa tidak boleh kali ini,” ujar Safee yang merupakan pemenang kasut emas dengan lima gol pada edisi 2010, ketika Malaysia muncul juara buat kali pertama.

Tambah Safee lagi, perlawanan yang akan bermula pada jam 7.30 malam itu memberi satu lagi kelebihan buat skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee, setelah dikerah beraksi dua perlawanan sebelum ini dalam keadaan cuaca panas terik.

“Saya berharap kita akan memanfaatkan kelebihan ini untuk menunjukkan aksi yang jauh lebih baik selepas corak permainan kita terjejas dan terbatas gara-gara cuaca panas ketika menentang Kemboja dan Vietnam. Saya yakin kita boleh menang perlawanan ini,” ujar Safee. 

- Advertisement -