gifu

Oleh Muhammad Aiman

Jaringan menerusi pukulan sudut penalti Mohd Firhan Ashaari membantu skuad hoki negara mengikat Jepun 1-1 dalam perlawanan ujian pertama dalam siri Jelajah Jepun di Kakamigahara, pada Sabtu.

Setelah tewas kedua-dua perlawanan latihan sebelum ini masing-masing dengan keputusan 1-5 dan 1-3, The Speedy Tigers tampil dengan aksi lebih baik dan menunjukkan peningkatan di beberapa aspek khususnya ketika bertahan untuk menafikan hajat Jepun melakar hatrik kemenangan.

Jepun, pasukan di ranking ke-16 dunia mendahului seawal minit ketujuh menerusi Hiroki Sakamoto yang menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum Firhan, penyerang kelahiran Terengganu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-26.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen sedang berada dalam siri latihan dan ‘perguruan’ selama 10 hari di negara matahari terbit itu sejak 6 Jun lalu, dan akan mengharungi baki tiga lagi perlawanan selepas ini – iaitu dua perlawanan latihan dan satu perlawanan ujian.

Seperti diketahui, jelajah ini digunakan oleh Stephen untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda dan baru dalam usaha membentuk skuad mantap berdaya saing untuk beraksi di Trofi Juara-Juara Asia edisi keempat di Kuantan Oktober depan selain menghadapi kelayakan Olimpik 2020.

Antara pemain muda yang disenaraikan Stephen untuk jelajah ini adalah Nor Syafiq Sumantri, Nik Aiman Rozemi, Najmi Farizal, Firdaus Omar dan Najib Hassan.

- Advertisement -