SKUAD kebangsaan Malaysia hari ini mengumumkan senarai enam pelumba yang akan menyarung jersi negara dalam edisi ke-27 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023, yang akan bermula dengan Peringkat 1 di Kerteh, Sabtu ini.

Enam pelumba berkenaan ialah Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil; Muhsin Al Redha Misbah; Muhammad Nur Aiman Rosli, Zulhemi Zainal, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dan Muhammad Zawawi Azman.

Pegawai yang akan mengiringi skuad kebangsaan kali ialah Pengurus Pasukan, Ahmad Ikram Zakaria, Ketua Jurulatih Mohd Yusuf Abdul Nasir, Penolong Jurulatih Amir Mustafa Rusli dan Mekanik, Shahrul Azman Abdullah.

Daripada senarai enam pelumba itu, Mohamad Izzat Hilmi, 28, bekas pelumba Sapura Cycling Team yang menyerlah dalam acara ujian masa, menjadi satu-satunya pelumba yang masih kekal selepas menyarung jersi negara pada LTdL 2022 dan 2020.

Empat rakannya yang pernah mewakili Sapura ialah Muhsin Al Redha Misbah, 26, yang turut berkebolehan dalam acara ujian masa, selain Muhammad Nur Aiman Rosli, 24, yang pernah muncul juara kebangsaan acara ITT sebanyak empat kali.

Seorang lagi bekas pelumba Sapura ialah Muhammad Zawawi Azman, 29, pelumba paling berpengalaman yang pernah menyarung jersi NSC Mycron, dan pelumba serba boleh, Muhammad Shaiful Adlan, 25.

Pelumba termuda dalam skuad kebangsaan kali ini ialah Zulhemi Zainal, 23.

Pada tahun lalu, skuad negara yang kehilangan seorang pelumba Muhammad Ameer Ahmad Kamal seawal Peringkat 1, menduduki tangga ke-19 berpasukan keseluruhan dengan Kee Zhe Yie menjadi pelumba terbaik di tangga ke-62 individu keseluruhan.

Pada LTdL 2020 pula, Muhammad Danieal Haikal muncul pelumba terbaik di tangga ke-44, tetapi pasukan kebangsaan menduduki tangga ke-21 berpasukan keseluruhan.

PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 yang membawa tema ‘Beat The Heat’ dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), bermula di Kerteh, Terengganu pada 23 September ini dan berakhir di pekarangan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September.

LTdL 2023 yang berstatus ProSeries akan menyusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,278.1km.

Seramai 132 pelumba mewakili 2 pasukan WorldTeam, 8 pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental dan satu pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian.

 

SENARAI PASUKAN LTDL 2023

BIL. PASUKAN KATEGORI NEGARA DIDAFTARKAN
1. ASTANA QAZAQSTAN TEAM UCI WORLD TEAM KAZAKHSTAN
2. EF EDUCATION-EASYPOST UCI WORLD TEAM USA
3. CAJA RURAL-SEGUROS RGA UCI PROTEAM SEPANYOL
4. EQUIPO KERN PHARMA UCI PROTEAM SEPANYOL
5. EUSKALTEL – EUSKADI UCIPROTEAM SEPANYOL
6. GREEN PROJECT – BARDIANI CSF – FAIZANE UCI PROTEAM ITALI
7. TEAM CORRATEC – SELLE ITALIA UCI PROTEAM ITALI
8. HUMAN POWERED HEALTH UCI PROTEAM USA
9. TUDOR PRO CYCLING TEAM UCI PROTEAM SWITZERLAND
10. BOLTON EQUITIES BLACK SPOKE PRO CYCLING UCI PROTEAM NEW ZEALAND
11, TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL MALAYSIA
12. 7ELEVEN CLIQQ – AIR21 BY ROADBIKE PHILIPPINES UCI CONTINENTAL FILIPINA
13. NUSANTARA CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL INDONESIA
14. HENGXIANG CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
15. LI NING STAR UCI CONTINENTAL CHINA
16. GIANT CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
17. ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL AUSTRALIA
18. KSPO PROFESSIONAL UCI CONTINENTAL KOREA SELATAN
19. JCL TEAM UKYO UCI CONTINENTAL JEPUN
20. ROOJAI ONLINE INSURANCE UCI CONTINENTAL THAILAND
21. THAILAND CONTINENTAL CYCLING TEAM CONTINENTAL THAILAND
22. MALAYSIA NATIONAL TEAM CONTINENTAL KEBANGSAAN

 

- Advertisement -