Kekalahan ke atas Kuwait dalam aksi pemanas badan pada Ahad lalu tidak perlu dijadikan sebagai mimpi ngeri buat kem Harimau Malaya.
Sebaliknya, kapten skuad Harimau Malaya, yang juga tonggak pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak mahu segala kekurangan ketika aksi menentang Kuwait diperbaiki sebelum aksi sebenar bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun.
Bagi Aidil, meskipun tidak beraksi dalam pertandingan kompetitif untuk tempoh yang agak lama, pemain pertahanan Johor Darul Takzim itu mengakui terdapat banyak perkembangan baik dalam pasukan sejak menyertai kem latihan pusat bermula 16 Mei lalu.
Pemain berusia 33 tahun itu berharap semua pemain dapat meningkatkan fokus dan memberikan komitmen penuh untuk Harimau Malaya.
Harimau Malaya terbang ke Manama bagi mempersiapkan diri sebelum Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain di Stadium Nasional Bahrain, Riffa Jumaat ini.
Mereka akan kembali semula ke Dubai untuk mengharungi baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi saingan Kumpulan G, bertemu UAE pada 3 Jun, disusuli aksi menentang Vietnam pada 11 Jun dan Thailand yang dijadual berlangsung pada 15 Jun depan.