razak.cup.hockey

Oleh Muhammad Aiman

Kejohanan Hoki TNB Piala Razak 2016 akan membuka tirai pada Sabtu ini dengan Melaka membawa misi besar mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu seterusnya bergelar juara buat kali keempat.

Melaka akan memulakan kempen mereka dengan menentang Pahang dalam aksi pembuka tirai Kumpulan A dan ketua pasukan Melaka, B. Namasivayam menjangkakan cabaran sukar buat pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan kali ini.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata dia melihat kesemua pasukan mempunyai kekuatan seimbang justeru berpendapat tiada pasukan yang boleh dipandang enteng cabarannya.  

“Memang kami berhasrat mahu pertahankan kejuaraan, tetapi pertahankan kejuaraan adalah lebih sukar dari memenanginya. Tapi kami tidak mahu anggap ia sebagai satu tekanan dan mahu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Setiap perlawanan adalah penting, tiada pasukan boleh kata kuat atau lemah. Jadi buat masa ini fokus kami adalah Pahang yang akan menjadi lawan pertama nanti. Kita pertaruhkan skuad hampir sama dengan tahun lalu jadi kita akan cuba ulangi pencapaian itu sekali lagi,” kata Namasivayam yang pernah menyarung jersi kebangsaan pada tahun 2005 dan 2006.  

Untuk rekod, Melaka menjulang trofi Piala Razak buat kali ketiga musim lalu setelah menundukkan Perak 1-0 menerusi jaringan tunggal Deddy Aryadi Jumaidi dalam aksi final.

Sementara itu, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjuarai saingan Divisyen 2 tahun lalu dengan menundukkan Selangor di perlawanan akhir, akan membuat penampilan sulung mereka di Divisyen 1 dengan menentang Johor dalam satu lagi aksi Kumpulan A.  

Diperkuatkan dua pemain tonggak skuad kebangsaan iaitu ketua pasukan Razie Rahim dan Nabil Fiqri, PDRM bagaimanapun tidak meletakkan sasaran besar sebaliknya hanya mahu melakukan yang terbaik.   

Pengarah Bahagian Latihan Hoki Bukit Aman, R. Tharamadurai berkata, “Beraksi di Divisyen 1 adalah satu pengalaman baru buat kami setelah bertahun lamanya bermain di Divisyen 2. Kami adalah pasukan baru di Divisyen 1 jadi harapan kami dalam penampilan sulung ini adalah berikan saingan sengit kepada semua lawan.

“Kita mempunyai sebuah skuad yang bagus, dan sudah tentu kehadiran Razie dan Nabil adalah satu tonik buat pasukan. Begitupun kita tidak boleh terus mengharap magik daripada mereka kerana mereka juga perlukan masa. Sasaran yang paling penting buat kami sudah tentunya terus kekal bersaing di Divisyen 1,” ujar Tharamadurai.

Kejohanan yang akan berlangsung dari 21-29 Mei itu akan menyaksikan Perak yang muncul juara pada 2013 dan 2014 diundi dalam Kumpulan B bersama juara 19 kali Kuala Lumpur, Terengganu dan juga Negeri Sembilan.

Manakala dalam saingan Divisyen 2, Selangor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan berentap dalam Kumpulan A sementara Kelantan, Sarawak, Sabah dan Tentera pula berentap dalam Kumpulan B.

Dalam pada itu, Kejohanan Piala Razak edisi ke-54 ini juga mempertandingkan liga membabitkan pasukan wanita buat pertama kalinya.

Sejak dianjurkan pada 1963, Piala Razak hanya membabitkan pasukan lelaki dan ketua pegawai eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia, K. Logan Raj berkata tiba masanya untuk memberi pengiktirafan kepada pasukan wanita di kejohanan tahunan itu.  

“14 pasukan wanita akan mengambil bahagian terdiri dari 12 pasukan negeri, Angkatan Tentera dan PDRM yang akan dibahagikan kepada 3 kumpulan. Hanya Kelantan dan Perlis memilih untuk tidak menghantar pasukan wanita. Kita harap sambutan yang sama akan diberikan kepada pasukan wanita,” jelas Logan Raj.

Untuk aksi kategori wanita, lima pasukan akan bersaing masing-masing dalam Kumpulan A dan B manakala empat lagi pasukan dalam Kumpulan C.

Pahang, Sarawak, PDRM, Johor, Selangor diundi dalam Kumpulan A manakala Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Tentera, Terengganu dan Sabah pula dalam Kumpulan B.

Melengkapkan Kumpulan C adalah Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.  

Kesemua perlawanan Piala Razak edisi ke-54 akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil.

 

Jadual aksi : 21 Mei (Sabtu)

Divisyen 1 (Lelaki) :

Kumpulan A – Melaka vs Pahang (8 mlm), Johor vs PDRM (8 mlm) 

Divisyen 2 :

Kumpulan A – Selangor vs Kedah (4 ptg), Perlis vs Pulau Pinang (4 ptg)

Kumpulan B – Kelantan vs Sarawak (6 ptg), Tentera vs Sabah (6 ptg)

Divisyen Perempuan

Kumpulan A – Sarawak vs Selangor (7.30 pg), PDRM vs Johor (7.30 pg)

Kumpulan B – N.Sembilan vs Sabah (9.30 pg), Tentera vs Terengganu (9.30 pg)

- Advertisement -