PERAK TERENGGANU

Oleh Muhammad Aiman

Juara bertahan Melaka akan berdepan Terengganu dalam aksi separuh akhir Divisyen Satu Kejohanan Hoki Piala Razak 2016, setelah menamatkan aksi Kumpulan A selaku juara hasil keputusan seri 2-2 menentang PDRM di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Rabu.

Begitupun, jika Melaka berhasrat mara ke perlawanan akhir seterusnya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu, barisan depan pasukan itu perlu lebih tajam dalam menyudahkan peluang, sepertimana diakui jurulatihnya, Azrul Effendy Bistaman.

“Kami sebenarnya tidak bernasib baik kerana di suku ketiga, ketika PDRM beraksi dengan 10 pemain, kami tidak mengambil kesempatan sepenuhnya untuk jaringkan gol. Jika tengok pada perlawanan tadi, Melaka sepatutnya boleh menang mudah.

“Kami menguasai hampir keseluruhan permainan, mungkin salah satu faktor adalah kerana pemain tahu mereka sudah sedia layak ke separuh akhir jadi mereka tidak beraksi pada prestasi sebenar. Apa sekalipun, saya yakin dengan kekuatan pasukan ini, kita akan perbaiki apa yang patut termasuk penyudah, dan saya yakin kita boleh untuk melakukan kejutan sekali lagi,” ujar Azrul Effendy.

Aksi separuh akhir antara Melaka menentang Terengganu dan PDRM menentang Perak akan berlangsung pada Jumaat.

Pada perlawanan terakhir kumpulan menentang PDRM, Melaka dua kali bangkit dari ketinggalan kepada jaringan pukulan sudut penalti ketua pasukan kebangsaan, Razie Rahim untuk mencuri satu mata menerusi jaringan Firdaus Omar dan Dedy Ariyadi Jumaidi.

Sementara itu, Pahang menamatkan aksi Kumpulan A di tempat ketiga setelah menundukkan Johor 4-3 menerusi dua jaringan Idris Samad dan satu masing-masing oleh Kazamirul Nasarudin dan Hafiz Zainul.

Bagi perlawanan Kumpulan B, Perak menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata setelah mencatat keputusan seri 4-4 menentang Terengganu.

Juara 2014 itu yang membara mahu merampas semula trofi yang terlepas ke tangan Melaka tahun lalu, menjaringkan gol menerusi Syed Muhamad Syafiq Syed Cholan (m-4, 54), Haziq Samsul (m-15) dan Izad Hakimi Jamaludin (m-38) manakala gol buat Terengganu dijaringkan oleh Faizal Shaari (m-9, 45), Ameer Aiman Saberi (m-22) dan Nik Muhammad Aiman (m-45).

Dalam satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur pula mencatat kemenangan sulung untuk menamatkan aksi kumpulan di tangga ketiga dengan menewaskan Negeri Sembilan 3-1.

Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Dangerous Lee pada minit ke-25 sebelum Kuala Lumpur bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan gol menerusi Ramadhan Rosli dan dua gol Hizaq Sumantri.

- Advertisement -