Susulan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung status industri sukan bagi bolasepak yang tidak dibenarkan untuk diteruskan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkemungkinan akan meneruskan saingan Liga Malaysia musim 2020 pada September depan.

Perancangan ini dibuat selepas mendapat keputusan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam sebagai rujukan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020.

Pertemuan diantara Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam di Putrajaya semalam mengesahkan permohonan MFL untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada Ogos 2020 dengan sesi latihan pasukan bermula pada Julai 2020 tidak diluluskan.

Perbincangan telah pun diadakan dengan rakan kongsi liga pada 19 April yang lalu telah memutuskan untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga.

MFL menerusi kenyataan media menjelaskan liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

Malah, perlawanan akan diadakan tanpa penonton seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Bagi mengelak jangkitan import Covid 19, MFL juga mencadangkan tiada tempoh bagi perpindahan pemain dibuka.

Sementara TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Bulan Ogos juga dicadangkan sebagai sesi latihan pasukan dan perlu mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan arahan MKN, KKM dan KBS serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Juara CIMB Liga Super juga diputuskan akan kekal meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 manakala juara TM Piala Malaysia dan naib juara CIMB Liga Super akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Andai cadangan MFL berhubung penyambungan semula Liga M pada September tidak diterima MKN dan KKM, KBS memutuskan Liga M musim 2020 dibatalkan.

Justeru, kelayakan pasukan Liga Malaysia ke pertandingan kelab anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2021, ditentukan berdasarkan merit dengan juara Liga Super 2020 akan mendapat slot automatik ACL 2021 manakala naib juara Liga Super dan juara Piala FA 2020 akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menerima keputusan yang telah diumumkan.

“MFL menghormati pandangan pelbagai pihak mengenai status perjalanan Liga Malaysia musim ini, tetapi MFL sudah mengkaji dan meneliti secara mendalam bagi menyusun semula kalendar baharu Liga Malaysia.

“Kita sedia maklum bahawa ramai pihak bergantung kepada sumber ekonomi mereka dalam industri bola sepak tanah air. Justeru ketika ini, MFL masih berpandangan positif untuk memulakan kembali saingan liga yang terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan mengeluarkan arahan PKP pada 18 Mac lalu.

“Keprihatinan MFL dan FAM dalam aspek keselamatan pemain, pegawai dan penyokong
berkenaan wabak COVID-19 diterjemahkan apabila membuat keputusan supaya perlawanan  CIMB Liga Super, Liga Premier, serta Liga M3 dijalankan tanpa penonton pada 14 dan 15 Mac 2020 sebelum semua saingan termasuk Shopee Piala FA ditangguhkan pada 16 Mac 2020 iaitu dua hari sebelum PKP diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

 

 

- Advertisement -