Majlis Olimpik Malaysia menyerahkan geran berjumlah RM382,000 pada minggu ini, bagi membantu 54 ahli gabungannya yang terjejas agar dapat bertahan ketika pandemik COVID-19.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau meminta Jawatankuasa Pengurusan Amanah untuk Kumpulan Wang Amanah MOM agar mempertimbangkan pakej bantuan keempat kepada semua persatuan sukan kebangsaan di bawah naungan badan induk sukan negara itu.

Beliau berkata langkah yang diambil itu kerana menyedari cabaran dihadapi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan situasi krisis COVID-19 yang tidak terduga.

“Saya berterima kasih kepada ahli Jawatankuasa Pengurusan Amanah untuk Kumpulan Wang Amanah MOM kerana meluluskan inisiatif penting ini bagi manfaat ahli gabungan. Ini menunjukkan solidariti dan komitmen kita ketika dalam kesukaran,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Norza yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata dana tersebut bertujuan untuk meringankan perbelanjaan pentadbiran persatuan sukan kebangsaan pada saat pembatalan dan ketidakupayaan untuk menganjurkan kejohanan khususunya yang mempengaruhi aliran pendapatan.

Bantuan COVID-19 pertama MOM adalah berjumlah RM300,000 disalurkan pada April tahun lepas diikuti bantuan kedua juga RM300,000 disalurkan pada Oktober.– BERNAMA

- Advertisement -