Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu, SMK Bukit Nenas hanya 90 minit sahaja lagi dipisahkan dari mempertahankan trofi Piala Liga Remaja KPM-FAM B-17.
Pasukan bimbingan Zainudin Md Zain itu akan turun menentang SSN Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian dalam aksi final di Stadium Mini Sekolah Sukan Malaysia Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI), pada Sabtu.
Ini adalah kali keempat dalam tempoh lima tahun pasukan itu mara ke final dan menang kesemua tiga aksi final sebelum ini pada 2013, 2014 dan 2016 justeru tidaklah mengejutkan untuk melihat Zainudin melaungkan keyakinan betapa barisan pemainnya mempunyai rencah diperlukan untuk mengulangi kejayaan tersebut.
“Saya sedar lawan yang bakal kita tentang bukan calang-calang, kita tidak sesekali pandang mudah. Ia akan menjadi satu perlawanan yang cukup sukar, cukup sengit tetapi kita telah membuat persiapan rapi dan pemain-pemain sudah tidak sabar untuk turun beraksi.
“Mereka telah tampilkan karakter sebenar ketika menyingkirkan SSN Kedah minggu lalu dan saya yakin momentum itu akan dapat dikekalkan. Pemain-pemain ini semakin matang, saya yakin jika mereka bermain mengikut arahan, fokus sepanjang permainan dan menutup segala ruang buat pasukan lawan tiada siapa boleh menghalang kami bergelar juara sekali lagi,” kata Zainudin.
Bukit Nenas yang muncul juara musim lalu dengan menewaskan tuan rumah, SSMTMI dalam aksi final yang berlanjutan sehingga ke masa tambahan mara ke final edisi kali ini dengan menyingkirkan juara tiga kali, SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R dengan agregat 6-3 di separuh akhir.
Untuk rekod, Bukit Nenas dan Mutiara Impian pernah bertemu dalam aksi Liga Super sebelum ini di Simpang Ampat pada 29 April lalu, menyaksikan Bukit Nenas menang 1-0.
Dalam pada itu, Mutiara Impian pula tekad tidak memberi laluan mudah dan motivasi mereka cukup tinggi mahu menjulang trofi Liga Remaja KPM-FAM buat pertama kali.
Jurulatihnya, Noraffendi Taib berkata, “Kita pernah mara ke final B-17 pada 2012 tetapi ketika itu tewas kepada Tunku Anum. Kita mengambil masa lima tahun untuk kembali ke final jadi kita tidak mahu kecewa sekali lagi. Kita sudah bersedia menyaingi Bukit Nenas walaupun mereka mungkin dianggap mempunyai kelebihan kerana lebih banyak pengalaman bermain di final.
“Dalam final peluang adalah seimbang. Saya percaya Bukit Nenas juga tertekan untuk mempertahankan kejuaraan malah rekod pertemuan lalu tidak lagi menjadi ukuran ia bergantung sepenuhnya kepada bagaimana prestasi pemain pada hari perlawanan. Pemain perlu bijak menyerap tekanan, mencipta peluang dan paling penting menyudahkan peluang.”
Untuk rekod, Mutiara Impian mara ke final setelah menewaskan SSN Melaka, SMK Seri Kota 7-3 secara agregat di peringkat separuh akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN