Mohd Rizzua Haizad
Mohd Rizzua (kiri)

Oleh Muhammad Aiman

Atlet olahraga remaja negara terus memastikan jalur gemilang berkibar megah di bumi Vietnam, kali ini giliran R. Kirthana dan Mohd Rizzua Haizad meraih pingat emas pada hari ketiga Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17.

Kirthana memenangi emas acara lompat kijang setelah merekodkan lompatan terbaik peribadinya 13.20m pada aksi final yang berlangsung di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, mengatasi dua atlet Kazakhstan Mariya Ovchnikova (perak) dan Anna Gorodkova.

Lebih manis bagi atlet kelahiran Perak itu, catatan itu yang mana 7cm lebih baik dari lompatan terbaik peribadinya yang terdahulu (13.13m) membolehkannya layak beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland dari 19-24 Julai depan.

“Saya bergelut untuk menunjukkan aksi terbaik dalam pertandingan yang disertai tahun ini kerana kesilapan-kesilapan mudah. Tetapi saya mahu berterima kasih kepada jurulatih Victor Sonikov yang membantu saya memperbaiki teknik lompatan saya.

“Ini adalah pencapaian terbaik saya, tahun lalu saya memenangi emas di Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei dengan hanya 12.69m. Sekarang saya adalah atlet lompat kijang remaja terbaik Asia,” ujar Kirthana.

Lagu Negaraku kemudiannya berkumandang sekali lagi apabila Rizzua mengesahkan pingat emas menerusi acara 110m lari berpagar dengan catatan masa 14.00s, yang turut melayakkannya beraksi di Kejohanan Remaja Dunia.

Kemenangan Rizzua membolehkan Malaysia mengumpul tiga emas selepas terdahulu Khairul Hafiz Jantan melakar sensasi terhebat di bumi Vietnam pada Sabtu, dengan meraih pingat emas acara riben biru untuk bergelar jaguh pecut remaja Asia.    

Tiga emas yang dimenangi setakat ini sudah cukup untuk menjadikan ianya penampilan terbaik Malaysia di kejohanan dwitahunan ini dan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abbas pantas menghamburkan pujian di atas kejayaan serta peningkatan berterusan ditunjukkan atlet-atlet remaja ini.

“Kirthana dilihat sudah bersedia untuk menggantikan atlet lompat kijang nombor satu negara Noor Amira yang baru-baru ini menjalani pembedahan lutut. Manakala Rizzua pula mengharumkan nama negara dengan meraih emas 110m lari berpagar. Ianya cukup bagus melihat Malaysia dalam laluan menjadi antara negara kuasa besar olahraga di Asia,” katanya.

Sementara itu, pasukan negara terlepas peluang melakar hatrik emas pada Ahad apabila kuartet 4x100m dibarisi Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Abdul Manap, Haiqal Hanafi dan Asnawi Hashim berpuas hati dengan pingat perak, dengan catatan masa 39.91s.

Manakala Nor Shafie Mohd Noor pula turut meraih pingat perak dalam acara lompat tinggi setelah melakukan lompatan 2.14m.

Malaysia masih berpeluang menambah koleksi pingat pada Isnin apabila Khairul Hafiz turun dalam aksi final 200m lelaki untuk mencari gelaran berganda sementara Noor Ewan Syafiqah Mohd Sabri dan Shereen Samson Vallabouy pula akan beraksi dalam acara 200m wanita final.

Jiyaudeen Asif Rahman dan Savinder Kaur pula akan beraksi dalam acara 800m final lelaki dan wanita masing-masing.

- Advertisement -