Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bersedia untuk mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) sebelum mereka memulakan latihan bermula 15 Jun ini.

Jelas Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri, empat perkara utama yang wajib dipatuhi oleh semua pasukan sebelum kembali berlatih adalah perkara yang cukup penting bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua terlibat berada di tahap terbaik susulan pandemik COVID-19.

“Saya rasa SOP yang telah dikeluarkan itu seiring dengan saranan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MFL telah memberi penerangan dengan lebih jelas kepada kami.

“Bilangan pemain dibenarkan hanya 10 orang sahaja dalam satu sesi selama 45 minit, jadi cadangan saya adalah pasukan mengadakan dua sesi latihan dalam satu hari di Stadium Perak, Ipoh secara tertutup.

“Manakala untuk Perak 2, kami bercadang latihan akan diadakan di Kompeks Bola Sepak Perak untuk dua sesi juga, tetapi memandangkan padang di situ agak terbuka, kami akan lihat dulu bagaimana keadaannya.

“Yang lain-lain seperti pegawai penyeleras yang perlu ada di tempat latihan tiada masalah dan semua pemain dan pegawai akan melakukan ujian calitan atau swab test pada Isnin ini,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Felda United Afizal Abu Bakar pula mengharapkan setiap pemain dan pegawai pasukan perlu jujur dalam memaklumkan tahap kesihatan mereka bagi mengelak sebarang risiko yang tidak diingini sebelum memulakan kembali latihan.

Ini termasuklah daripada mereka yang sudah bekeluarga seandainya ada antara ahli keluarga yang tidak sihat dan amat penting untuk pemain atau pegawai pasukan juga melakukan pemeriksaan susulan.

“Saya rasa SOP yang telah dikeluarkan amat jelas untuk kami dan mesyuarat juga telah diadakan bersama jurulatih pagi tadi, untuk kita meneliti tiap satu peraturan yang dikeluarkan MFL.

“Cadangan kami adalah pasukan akan berlatih secara bergilir-gilir di dua tempat iaitu di Institut Semarak Felda, Bangi dan di Padang Latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) manakala latihan akan dijalankan untuk tiga sesi dalam satu hari.

“Bagaimanapun apa yang penting, saya mahu setiap pemain dan pegawai menitikberatkan aspek kesihatan mereka dan bukan secara individu sahaja, malah orang di sekeliling mereka juga terutama ahli keluarga,” jelasnya.

Pada Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan telah mempengerusikan mesyuarat dalam talian bersama setiausaha-setiausaha pasukan Liga Malaysia.

Sesi itu membincangkan secara mendalam SOP yang perlu dipatuhi setiap pasukan untuk mengadakan latihan sepertimana yang dibenarkan oleh MKN.

Sebelum ini MKN dan
KBS mengumumkan keputusan untuk membenarkan semua pasukan kembali memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat mulai 15 Jun ini dan mengikut perancangan jika mendapat kebenaran kerajaan, Liga Malaysia dijangka bersambung semula pada September depan.

- Advertisement -