Selepas aksi hambar musim lalu, Hafizh Syahrin mencari ‘sinar’ dalam saingan Moto2 bagi musim 2020 dengan permulaan yang positif apabila menamatkan perlumbaan ditangga keenam di GP Sepanyol.

Beliau yang menunggang untuk pasukan Inde Aspar Moto2 mempamer aksi yang mantap meskipun berada di grid ke 15 untuk melengkapkan 23 pusingan di Litar Jerez dengan catatan masa 39 minit 38.875.

Jelas Hafizh menerusi video ringkas di laman facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao, penggunaan tayar yang sesuai serta bantuan daripada rakan sepasukan menjadi tunjang kepada El Pescao untuk menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Saingan Moto 2 di ungguli pelumba pasukan Sky Racing VR46, Luca Marini yang meraih kemenangan sulung manakala dua pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, Tetsuta Nagashima dan Jorge Martin dari Sepanyol melengkapkan podium kedudukan kedua dan ketiga.

Hafizh Syahrin akan meneruskan saingan Moto2 pada perlumbaan seterusnya pada GP Andalusia yang dijadualkan berlangsung di litar yang sama, hujung minggu depan.

Dalam pada itu, saingan utama MotoGP menyaksikan pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo mencuri tumpuan selepas meraih kemenangan sulung selaku juara.

Penunggang berusia 21 tahun berasal dari Nice itu, yang bermula dari petak pertama, mencatat masa 41 minit 23.796 saat dalam perlumbaan 25 pusingan.

Pelumba tuan rumah yang beraksi untuk Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales dikedudukan kedua ketinggalan 4.603 saat manakala pelumba pasukan Ducati, Andrea Dovizioso dari Itali, dikedudukan ketiga.

Manakala rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli, di tempat kelima dengan catatan masa 41 minit 30.64 saat.

 

- Advertisement -