Selepas lengkap dua perlawanan peringkat kumpulan B Kejuaraan Bawah 16 tahun Konfederasi Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018, Malaysia kembali mendapat suntikan semangat sekaligus bangkit daripada mimpi kekalahan kepada naib juara 2017, Thailand.

Secara tidak langsung Thailand secara matematiknya sudah melepasi halangan untuk ke pusingan kalah mati selepas mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan.

Lebih membanggakan, ketiadaan tonggak utama seperti Sitthinan RUngrueang, Jakkrapong Sanmahung dan Thanarin Thumsen, Thailand yang juga juara tiga kali tetap gah dengan kelas tersendiri untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas Singapura.

Mahu atau tidak, Malaysia perlu bekerja keras untuk memastikan slot terakhir kumpulan B bagi ke peringkat separuh akhir menjadi kenyataan.

Laos dan Singapura menjadi penghalang Malaysi untuk memburu slot ke separuh akhir dimana perkiraan di atas kertas, Laos boleh dilabel sebagai tembok terakhir yang perlu dirobohkan jika mahu ke separuh akhir.

Berdasarkan kedudukan semasa, Singapura gagal meraih sebarang mata selepas tewas dalam kesemua dua perlawanan setakat ini.

Manakala Laos meraih mata maksimum selepas dua perlawanan bermula dengan kemenangan 3-2 ke atas Brunei sebelum menundukkan Singapura 2-1 pada 1 Ogos lalu.

Laos secara keseluruhannya merupakan pasukan yang punya keunikkan tersendiri, lima jaringan yang terhasil dalam dua perlawanan membuktikan jentera serangan mereka perlu diberi perhatian.

Chony Wenpaserth antara yang perlu diberi perhatian khusus oleh pertahanan negara kerana beliau merupakan penjaring terbanyak untuk Laos dengan tiga gol disusuli Bunthoeun Bunnarong dan Ky Rina yang meledak dua gol setiap seorang.

Namun Bagi Raja Azlan Shah Raja So’ib, kemenangan ke atas Brunei ibarat ‘permulaan’ baru untuk Harimau Muda.

“Semua pemain memainkan peranan masing masing. Saya juga dapat lihat keunikkan bagaimana mereka melakukan transisi permainan daripada menyerang kepada bertahan dan sebaliknya.

“Perlawanan semalam adalah persediaan untuk kami sebelum melangkah ke peringkat separuh akhir,”kata Raja Azlan.

Kemenangan ke atas Brunei jelas menunjukkan semangat yang kian membara di kalangan pemain pemain yang tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

Kali pertama Malaysia menjulang trofi kejohanan ini pada 2013, dan kedudukan ketiga pada 2008. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -