mas-hockey

Oleh Muhammad Aiman

Meskipun gagal memperbaiki pencapaian menduduki tempat ketiga di saingan Trofi Juara-Juara Asia 2016 yang berlangsung bulan lalu di Kuantan, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berpendapat keputusan kali ini adalah lebih baik berbanding edisi sebelumnya.

The Speedy Tigers bimbingan Stephen Van Huizen menewaskan Korea Selatan untuk muncul pemenang gangsa buat kali keempat berturut-turut sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 2011 yang sekaligus mengundang kritikan bahawa pasukan negara tidak langsung menunjukkan peningkatan dan masih kekal di takuk lama.

Namun Subahan melihat dari sudut pandang berbeza, “Jika ada yang mengatakan kita gagal kerana hanya dapat tempat ketiga, mereka silap. Bagi saya, tempat ketiga kali ini lebih baik dan membuktikan pasukan negara ada peningkatan kerana semua lima pasukan gergasi Asia mengambil bahagian dan memberi tentangan sengit.

“Ketika 2012 dan 2013, Korea Selatan (ranking lebih tinggi dari Malaysia) tidak mengambil bahagian dan tempat mereka telah digantikan Oman (ranking bawah Malaysia). Kita juga tidak pernah menewaskan Pakistan di tiga edisi sebelum ini tetapi kali ini kita tewaskan mereka (kumpulan) yang merupakan juara bertahan. Jadi sudah tentunya saya boleh merumuskan ini satu pencapaian lebih baik.”

Pada kejohanan itu, Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua setelah menang tiga perlawanan pertama menentang Pakistan, China dan Jepun sebelum tewas kepada India dan seri menentang Korea Selatan. Malaysia kemudiannya tewas di separuh akhir kepada Pakistan. 

Justeru, Subahan menegaskan jika tidak kerana perubahan format pertandingan, skuad negara diketuai Sukri Mutalib sudah tentunya melangkah ke perlawanan akhir sekaligus melepasi sasaran empat terbaik yang diletakkan.

“Kalau mengikut format lama, kita boleh terus layak ke final. Sepatutnya menurut peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), dua pasukan teratas kumpulan terus ke final jika penyertaan kurang dari lapan pasukan.

“Tetapi, kerana rombakan dibuat Persekutuan Hoki Asia maka kita terpaksa bermain di separuh akhir walaupun berada di kedudukan kedua kumpulan.”

Subahan bagaimanapun mengakui skuad sedia ada ini yang disasarkan akan melangkah ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih perlu digilap dan banyak lagi ruang penambahbaikan tatkala mereka akan bersiap menghadapi pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Trinidad & Tobago sekitar bulan Mac tahun depan.

- Advertisement -