Gandingan baru bagi acara bergu campuran, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See mendapat suntikan moral apabila muncul juara Kejohanan Badminton Gran Prix Emas Terbuka Rusia.

Kejohanan yang menggunakan sistem 11 mata ini jelas sudah mula dikuasai pasangan bergu campuran negara ini ketika berdepan gandingan Jepun, Keiichiro Matsui/Akane Araki, namun tidak diberi ruang mudah.

Peng Soon dan Yee See dipaksa bekerja keras sebelum menutup set pertama dengan kemenangan 11-8 namun pasangan Jepun bangkit dengan aksi yang lebih mantap dan  memanfaatkan setiap kesilapan untuk mengecewakan bergu campuran negara.

Semangat juang Jepun bermula ketika mereka Berjaya bangkit meskipun ketinggalan 6-9 pada satu ketika sebelum mengikat kedudukan 9 sama.

Keiichiro dan Akane terus mengecewakan Peng Soon dan Yee See untuk menang 13-11 sekaligus mengheret aksi ke set penentuan.

Faktor keletihan jelas menghantui pasangan Jepun dan ia pantas digunakan Peng Soon sebagai pemain paling berpengalaman untuk mengemudi serangan bersama sama Cheah Yee See.

Set ketiga berakhir dengan kemenangan 11-3 memihak Malaysia sekaligus memberikan kemenangan sulung untuk Peng Soon dan Yee See.

Dalam pada itu harapan untuk menyaksikan dua lagi wakil negara menaiki podium selaku juara tidak kesampaian.

Terdahulu, perseorangan wanita negara Soniia Cheah yang diletak selaku pilihan pertama kejohanan tewas dalam pertarungan lima set ke atas pemain tuan rumah yang juga pilihan kedua, Evgeniya Kosetskaya 9-11, 11-5, 5-11, 11-5, 4-11 selepas bertarung selama 40 minit.

Manakala satu lagi bergu negara dalam kategori lelaki, Chooi Kah Ming-Low juan Sheng turut mengalami nasib yang sama seperti Soniia Cheah selepas tewas dalam pertarungan tiga set, 6-11, 9-11, 5-11 kepada satu lagi wakil tuan rumah, Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -