Kualiti persaingan dalam Petronas-Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) diramal sengit dengan kehadiran tiga pasukan profesional benua Itali yang mengisi tiket wildcard bagi perlumbaan Grand Tour Giro d’Italia, 9 hingga 31 Mei depan.

Ini kerana, ketiga-tiga pasukan berkenaan perlu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang musim ini demi meyakinkan penganjur Giro, RCS Sport, yang menyediakan tempat untuk mereka bersaing dengan pasukan handalan berstatus World Team dalam perlumbaan besar itu.

Secara tidak langsung juga, Androni Giacattoli-Sidermec, Bardiani-CSF-Faizane dan Vini Zabu-KTM (dulu Neri Sottoli-Selle Italia) perlu membuktikan tahap sebenar mereka pada LTdL 2020 ini, sekaligus menjanjikan persaingan sengit di sepanjang lapan peringkat perlumbaan, bermula dengan majlis pengenalan pasukan di Kota Kinabalu pada 5 Februari ini.

Pengarah Giro d’Italia, Mauro Vegni pada minggu lalu mengumumkan penganjur, RCS Sport memberikan tiga tiket wildcard itu kepada Androni,  Bardiani dan Vini Zabu, untuk berkayuh di Giro, yang dijadual bermula di Budapest, Hungary dan berakhir di Milan.

Namun pemberian tiket wildcard itu disertai amaran supaya ketiga-tiga pasukan profesional benua yang berdaftar di Itali itu menunjukkan kematangan dan peningkatan sekiranya ingin terus menjamin tempat dalam jelajah kedua terbesar dunia itu.

Dan secara tidak langsung juga, Androni, Bardiani dan Vini Zabu perlu memberikan persembahan yang meyakinkan pada LTdL ini, demi membalas kepercayaan yang diletakkan RCS Sport pada mereka.

Menariknya, ketiga-tiga pasukan itu sudah menghantar senarai awal pelumba kepada penganjur Human Voyage Sdn Bhd, dan berdasarkan nama itu, ada beberapa pelumba yang pernah memenangi peringkat dalam LTdL sebelum ini.

Androni, yang dipimpin pengurus berkarisma Gianni Savio, dan mengumpul tiga kemenangan peringkat pada LTdL 2019, sedang meniti persiapan yang baik apabila turut menyenaraikan Luca Pacioni, yang memenangi Peringkat 1 Vuelta a Tachira di Venezuela, dua minggu lalu.

Pacioni, pakar pecut berusia 26 tahun, memenangi peringkat dalam LTdL 2018 bersama Wilier Triestina, dan pernah menyarung jersi Androni pada musim 2016 dan 2017.

Seorang lagi pakar pecut yang disenaraikan Androni untuk mengulangi kejayaan tiga kemenangan peringkat pada tahun lalu, adalah Luca Chirico, 27, yang pernah berkayuh dalam LTdL 2015 dan 2016 ketika bersama Bardani.

Dua pelumba yang dijangka akan membantu Pacioni dan Chirico untuk membawa mereka ke zon pecutan mahupun garisan penamat di peringkat laluan landai nanti ialah Nicola Venchiarutti dan Mattia Viel.

Kevin Rivera Serrano dan pelumba muda Ecuador, Jefferson Cepeda Ortiz adalah dua nama yang bakal mengetuai perebutan jersi kuning terutama di peringkat pendakian ke Genting Highlands pada Peringkat 4.

Serrano, pelumba Costa Rica yang dilamar tiga tahun lalu, memenangi Peringkat 6 ujian masa individu dan Peringkat 7 di Vuelta a Tachira, serta pernah menduduki tangga ke-25 keseluruhan pada LTdL 2018.

Namun nasib malang menimpa Jefferson Cepeda yang mengalami kecederaan dalam jelajah itu dan sama ada dia sempat sembuh, Savio dijangka akan mengumumkan senarai akhir selepas pasukan itu menamatkan perlumbaan yang disertai Androni ketika ini di Vuelta a San Juan di Argentina, minggu ini.

Bardiani juga bukanlah nama asing kerana seperti juga Androni, pasukan dibimbing Roberto Reverberi dan pernah beraksi dengan nama Scrigno dan Panaria pada awal penganjuran LTdL dulu, kali ini mempertaruhkan bekas pelumba Androni yang menang  dua peringkat tahun lalu, Matteo Pelucchi.

Tahun lalu, Pelucchi menang di Peringkat 5 di Taiping dan Peringkat 6 di Alor Setar untuk menghadiahkan dua daripada tiga kemenangan peringkat buat Androni dan pastinya pelumba 31 tahun itu mahu mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan Andrea Guardini dalam pasukan itu.

Pelumba lain yang disenaraikan Bardiani adalah Giovanni Lonardi, Fabio Mazucco, Alessandro Teodoro Monaco, Alessandro Pessot dan Daniel Savini, tetapi dua pelumba simpanan termasuklah Marco Benfatto dan Alessandro Tonelli.

Benfatto adalah bekas pelumba Androni yang memenangi Peringkat 8 di Pulau Langkawi pada tahun lalu, dan sekiranya mahu mengejar kemenangan peringkat, Reverberi pasti melakukan perubahan pada saat-saat akhir.

Vini Zabu adalah satu nama baru tetapi pasukan dulu dikenali dengan nama Neri Sottoli-KTM, Wilier Triestina dan ISD-Neri ini juga berpengalaman luas berkayuh dalam LTdL.

Pasukan yang dibimbing bekas pemenang jersi kuning LTdL 1997, Luca Scinto ini turut berharap mencapai kemenangan bermakna bagi menepati statusnya sebagai pasukan yang layak bersaing di Giro, selepas menang satu peringkat di Pantai Cenang pada Peringkat 7 tahun lalu.

Walaupun pemenang itu, Simone Bevilacqua tidak disenaraikan kali ini, dua pakar pecutnya yang perlu diberi perhatian adalah Lorenzo Fortunato, 23, bekas pelumba Bardiani dan pelumba kelahiran Luxembourg, Jan Petelin yang pernah menyarung jersi pasukan Differdange.

Bagi perebutan jersi kuning terutama di peringkat pendakian ke Gentng Highlands, Vini Zabu dijangka mengharapkan sentuhan pelumba Itali berusia 29 tahun, Francesco Manuel Bongiorno yang berpengalaman luas ketika bersama Bardiani pada 2013-2016.

Apa pun, LTdL 2020 kali ini menjadi pentas amat penting buat ketiga-tiga pasukan pro benua Itali ini demi menepati statusnya sebagai pasukan yang akan beraksi di Giro dan mahu tidak mahu, mereka perlu pulang dengan keputusan memberangsangkan membalas keyakinan penganjur Giro.

PETRONAS LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari, sebelum Peringkat 1 dimulakan di Kuching, Sarawak pada 7 Februari dan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri.

Sempena sambutan ulang tahun ke-25, Human Voyage akan turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu pada 6 Februari serta perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.

- Advertisement -