JARINGAN hatrik Shello Silverius membantu SABAH memastikan kemenangan besar 5-0 ke atas naib juara tahun lepas JOHOR sekali gus menempah tempat ke suku akhir kejohanan hoki TNB Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) 2020 di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil hari ini. 

Mengiringi Sabah ke suku akhir esok termasuk KUALA LUMPUR dan PAHANG yang mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir Kumpulan D manakala PERAK pula mara selaku juara Kumpulan B. 

SELANGOR kempunan ke suku akhir selepas sekadar seri 2-2 dengan Perak manakala PDRM pula menarik nafas lega mengiringi TERENGGANU ke suku akhir selaku juara Kumpulan C. Terengganu mengakhiri kempen kumpulan dengan pesta gol membelasah Kelantan 14-0. 

Sabah nyata menguasai permainan dan menemui sasaran dengan tiga gol selepas 45 miit permainan. Penyerang Shello Silverius menggegar gawang dengan hatrik di minit ke 25, 28 dan 41 manakala  Muhajir Abdu Rauf dan Mohamad Azfar bin Mustaming melangkapkan kemenangan besar Sabah. 

Perak dan Selangor turun dengan misi mesti menang dan saling berbalas jaringan dengan Muhamad Zafri Afiq Nor Azlan membuka laluan buat Selangor menerusi jaringan pada minit ke-24.  Perak membalas menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-31 sebelum Syamil Azim Dzulkafly meletakkan Selangor kembali di depan pada minit ke-35.

Syed Mohamad Syafiq akhirnya menghadirkan kelegaan buat Perak apabila tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan 2-2 buat Perak, seterusnya membawa skuad Silver Stick itu ke suku akhir. 

Dalam pada itu, bekas juara KUALA LUMPUR juga berada dalam landasan terbaik mengakhiri kemarau kejuaraan, yang kali terakhir dikecapi pada 2011, apabila menang besar 5-0 ke atas Kedah.

Muhammad Shahril Saabah mencetak dua gol (minit ke-2 dan 33) manakala Mohamad Syamim Yusof, Muhamad Ramadan Rosli dan Joel Samuel Van Huizen melengkapkan kejayaan besar skuad Kuala Lumpur. 

PAHANG mengiringi Kuala Lumpur ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan D selepas menumpaskan Negeri Sembilan 2-0 manakala MELAKA, yang mengetepikan cabaran Pulau Pinang 2-0 hari ini, mara dari Kumpulan A bersama PERLIS ke suku akhir. 

Dalam saingan WANITA, skuad PAHANG dan KUALA LUMPUR masing-masing mengesahkan tempat ke peringkat Kumpulan XY selepas mengatasi lawan masing-masing pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan. 

PAHANG menumpaskan Melaka 4-0 manakala Kuala Lumpur mara selepas mengetepikan Sarawak dengan jaringan sama 4-0. 

Ketua pasukan Pahang Nuraini Abdul Rashid nyata berpuas hati dengan komitmen rakan sepasukan dan berharap kejayaan itu akan menyuntik semangat lebiy tinggi untuk erjaya di pusingan seterusnya. 

“Semua pemain telah berusaha sehabis mungkin untuk melayakkan diri ke pusingan XY. Harapan saya agar pemain terus fokus,” kata Nuraini. 

SELANGOR tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan seterusnya selepas melengkapkan saingan Kumpulan A sebagai juara ekoran kemenangan besar 4-0 ke atas Perak manakala PULAU PINANG meraih satu mata berharga selepas seri 2-2 dengan Terengganu yang membolehkan skuad Pulau Mutiara itu ke pusingan seterusnya.

PDRM, Negeri Sembilan dan ATM akan berebut bagi memastikan dua lagi slot dalam saingan terakhir wanita Kumpulan C esok. 

 

PASUKAN LAYAK KE SUKU AKHIR (LELAKI) 22 Sept

Kumpulan A: Melaka, Perlis

Kumpulan B: Perak, Sabah

Kumpulan C: Terengganu, PDRM

Kumpulan D: Kuala Lumpur, Pahang

JADUAL PERLAWANAN SUKU AKHIR (LELAKI) 22 SEPT

Suku Akhir 1: Melaka mln Pahang

Suku Akhir 2: Terengganu mln Sabah

Suku Akhir 3: Kuala Lumpur mln PDRM

Suku Akhir 4: Perak mln Perlis

KEPUTUSAN (LELAKI) 21 SEPT

Kumpulan A:

Melaka mln Pulau Pinang 2-0

 

Kumpulan B:

Sabah mln Johor 5-0

Selangor mln Perak 2-2

 

Kumpulan C:

Terengganu mln Kelantan 13-0

 

Kumpulan D: 

Kuala Lumpur mln Kedah 5-0

Pahang mln Negeri Sembilan 2-0

 

KEPUTUSAN (WANITA) 21 Sept

Kumpulan A:

Selangor mln Perak 4-0

Pulau Pinang mln Terengganu 2-2

 

Kumpulan B: 

Kuala Lumpur mln Sarawak 4-0

Pahang mln Melaka 4-0

 

- Advertisement -