Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Liability Partnership, FMLLP – Kevin Ramalingam

Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), berharap kemelut yang melibatkan organisasi itu dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) diselesaikan dengan cara yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjelaskan beliau mahu KAFA menyediakan dokumentasi lengkap berhubung isu pendaftaran pemain import dan laporan kewangan bagi menilai dan menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Segalanya bergantung kepada makluman yang disertakan dalam dokumentasi yang diserahkan oleh pihak KAFA bagi menentukan adalah isu yang terlibat selesai sepenuhnya.

“FMLLP telah membentangkan dengan jelas kepada KAFA apa perlu mereka lakukan, dan KAFA menyambut baik saranan itu serta bersetuju menyediakan satu dokumentasi yang lengkap berserta rayuan dalam masa terdekat.

“Namun, saya tidak boleh kata rayuan berkenaan akan diterima atau pun sebaliknya…itu, kita perlu tunggu keputusan yang akan dibuat selepas mengambil kira apa yang akan dikemukan KAFA nanti,” kata Kevin selepas mengadakan pertemuan dengan wakil KAFA semalam.

KAFA diketuai Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah yang diiringi Setiausaha Agung Datuk Ismail Md Noor serta beberapa barisan Exco KAFA hadir ke pejabat FMLLP di Damansara bagi menjelaskan dan mendapatkan penjelasan berhubung isu yang timbul.

FMLLP memotong enam mata sebagai hukuman serta sekatan perpindahan pemain bagi jendela pertengahan musim kepada Kelantan, Perlis, T Team dan ATM susulan tunggakan gaji dan kegagalan melengkapkan pendaftaran pemain.

Pemotongan mata ke atas Perlis dan T-Team dibatalkan selepas kedua-dua pasukan itu berjaya mengemukakan dokumen tertangguh berserta rayuan kepada FMLLP, manakala ATM masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Kevin turut menambah FMLLP tidak pernah menyentuh isu-isu sensitif melibatkan mana mana pasukan atau membuat dakwaan tanpa sebarang bukti.

“FMLLP tidak pernah mengeluarkan kenyataan menuduh mana-mana pasukan dengan mengaitkan isu berkaitan masalah individu, pembayaran gaji atau pun hutang.

“Peranan kami untuk memastikan setiap pasukan mempunyai kebolehan untuk bertanding serta berada dalam kedudukan yang betul untuk memulakan musim baharu liga,” katanya lagi.

‘Perang’ melibatkan  KAFA dan FMLLP cukup ‘panas’ dilaman social Facebook apabila penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa tidak berpuas hati malah mengkritik FMLLP kerana tidak membenarkan pasukannya mendaftarkan pemain import Syedi L Imam bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -