Perang melibatkan isu dalaman Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) tampak reda seketika apabila Presidennya Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin melepaskan jawatannya berkuat kuasa hari ini.

Tindakan ioni sekaligus memberi bayangan Datuk Seri Megat mengotakan janjinya seperti yang dipinta oleh persatuan.

Menerusi kenyataan media, Megat Shariman melihat desakan dan tiada kata sepakat yang berjaya dicapai menyaksikan hubungannya dengan ahli exco MASCA tidak lagi rapat malah wujud cubaan untuk membuat undi tidak percaya ke atasnya.

Selain akur dengan keputusan ahli persatuan, beliau meletakkan alasan komitmen yang tinggi susulan perlantikan sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi penggal 2019-2023 sebagai punca kepada keputusan untuk melepaskan jawatan dalam MASCA.

Tambahnya, sepanjang memegang kerusi utama MASCA, Datuk Seri Megat Shariman berusaha untuk menaikkan imej sukan kanu serta memperbaiki struktur pengurusan persatuan dalam masa setahun.

Modal yang besar dikeluarkan untuk menghidupkan sukan kanu menerusi pertandingan dan aktiviti peringkat kebangsaan antaranya Kejohanan Sirkit Kebangsaan di Tasik Putrajaya pada April 2019 dan Sesi Akhir Pemilihan Pasukan Kebangsaan di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Julai 2019.

“Ini antara inisiatif saya bersama exco MASCA bagi memastikan sukan kanu mendapat pengiktirafan untuk diperakui sebagai sukan teras setelah sekian lama ia bergerak sendirian dan hanya menjadi pelengkap kalendar sukan negara tanpa pencapaian memberangsangkan sejak ditubuhkan pada 1983.

“Terima kasih untuk segala-galanya dan ia menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada MASCA. Saya mendoakan agar barisan kepimpinan baharu yang akan mengambil alih MASCA dapat meningkatkan prestasi sukan kanu dan menarik lebih ramai golongan muda di luar sana untuk bergiat aktif dalam sukan ini,” katanya.

 

- Advertisement -