PELUMBA NTT Pro Cycling, Maximilian Richard Walscheid menutup edisi ke-25 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) dengan satu lagi kemenangan peringkat pada hari terakhir Peringkat 8 di Pulau Langkawi, hari ini.

Kemenangan peringkat hari ini, dengan mengetuai kelompok besar pelumba menamatkan kayuhan dalam masa 2 jam 29 minit 8 saat, selepas turut memenangi Peringkat 3 di depan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), menobatkan pelumba tinggi lampai kelahiran Jerman itu selaku Raja Pecut dengan keseluruhan 65 mata.

Di akhir peringkat kelapan itu, pasukan profesional benua tempatan, Sapura Cycling Team (TSC) berdiri megah di podium apabila pelumbanya, Danilo Celano mengesahkan gelaran selaku pelumba terbaik keseluruhan dengan masa terkumpul 26 jam 39 minit 58s, mengulangi pencapaian bekas pelumba pasukan itu tahun lalu, Benjamin Dybal.

Selain Celano, peminat sukan berbasikal tempatan turut berbangga apabila pelumba muda negara yang tampil bersama TSC, Muhamad Nur Aiman Zariff juga dinobatkan dengan gelaran Raja Bukit pada jelajah kali ini apabila mengumpul 34 mata, selain TSC yang dipimpin Pengurus Pasukan Mohd Sayuti Zahit menduduki carta teratas dalam klasifikasi berpasukan keseluruhan dengan 80 jam 02 minit 45 saat, 4:48s di depan Terengganu Inc TSG Cycling Team.

Pelumba Vino Astana-Motors yang juga pemenang Peringkat 1 di Kuching, Yevgeniy Fedorov turut mengesahkan gelaran Pelumba Terbaik Asia dengan masa keseluruhan 26:40.24s, mengulangi rakan senegaranya tahun lalu, Vadim Pronskiy.

Pasukan Thailand Continental Cycling Team juga memenuhi sasarannya sebelum perlumbaan bermula apabila muncul Pasukan Terbaik Asia, mengatasi Vino Astana dan pasukan kebangsaan Hong Kong.

Namun tidak dinafikan, edisi ke-25 LTdL ini menjadi milik TSC dengan tiga gelaran utama itu, terutama Nur Aiman yang cukup berbangga dengan usahanya di sepanjang lapan peringkat sebelum ini.

“Ini kemenangan yang  paling bermakna dan manis setakat ini. Jersi merah ini amat istimewa bagi saya. Terima kasih kepada seluruh rakan pelumba dan pasukan. Saya yakin sudah memberikan kayuhan yang terbaik.

“Saya menganggap ini juga satu kemenangan untuk Malaysia dan berharap akan muncul lebih banyak kejayaan yang besar selepas ini,” kata pelumba 22 tahun kelahiran Terengganu itu yang meluahkan kepuasan dengan sujud syukur sebelum disarungkan jersi merah Raja Bukit LTdL 2020.

Sementara itu, Celano berkata, seluruh rakan pelumba dalam TSC layak diberi pujian kerana memikul peranan mereka dengan baik dan berkesan untuk memastikan jersi kuning yang disarungnya sejak Peringkat 4 di Genting, kekal hingga ke penamat.

“Walaupun tidak menang peringkat sepanjang jelajah, ia tetap satu kejayaan yang membanggakan kerana kami berkayuh dengan baik dalam situasi yang sukar, termasuk pada hari terakhir ini di mana saya berasa kurang sihat pada sebelah pagi tadi.

“Namun kami berjaya berkayuh sebagai satu pasukan untuk memastikan Sapura dapat mengekalkan jersi kuning ini. Ia juga satu kemenangan yang penting dalam karier saya walaupun baru menyertai pasukan ini beberapa minggu lalu,” kata pelumba Itali itu.

Walscheid, yang bermula baik apabila memenangi peringkat memanas badan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu, Peringkat 3 dari Temerloh ke Kuala Lumpur dan peringkat terakhir hari ini, menyifatkan gelaran raja pecut yang dimenangi itu mengukuhkan laluannya untuk bergelar pakar pecut bertaraf dunia.

“Pada sebelah pagi tadi, pasukan kami berbincang mengenai banyak kemungkinan yang akan berlaku di dalam perlumbaan demi memastikan jersi hijau ini tidak terlepas. Dan kami berkayuh dengan baik termasuk ketika saya mengutip mata di zon pecutan pertama.

“Saya berharap dengan gelaran yang dimenangi di LTdL ini, ia mengukuhkan reputasi saya untuk bergelar pakar pecut tulen,” kata Walscheid.

Fedorov juga berbangga dengan usahanya sepanjang LTdL ini, dengan satu kemenangan peringkat dan mempertahankan jersi putih Pelumba Terbaik Asia sehingga ke hari terakhir. Usaha kerasnya itu dapat dilihat ketika dia cuba merampas jersi kuning.

“Ya saya cuba meloloskan diri pada pusingan terakhir tetapi tidak berjaya. Namun saya tetap berpuas hati dengan apa yang sudah saya lakukan kali ini,” kata pelumba 19 tahun itu yang hanya ketinggalan 26 saat di belakang Celano.

Dalam perlumbaan peringkat terakhir yang dilepaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Lang itu, pelumba berkayuh mengelilingi sebahagian pulau pelancongan itu sebelum berakhir dengan enam pusingan di sekitar Pekan Kuah.

Seperti laluan landai pada tujuh dari lapan peringkat dalam LTdL ini, peloton tetap tenang walaupun menyaksikan banyak cubaan breakaway awal, sebelum beberapa pasukan yang mengandungi pakar pecut berusaha untuk menangkap kumpulan pelumba di depan, termasuk  termasuk cubaan terakhir sekumpulan lima pelumba pada pusingan terakhir loop di Pekan Kuah.

Henjutan beramai-ramai itu menyaksikan Walscheid, memintas pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Luca Pacioni dan Taj Jones (Ara Pro Racing Sunshine Coast) tatkala pemenang dua peringkat dari TSG, Harrif Saleh tercicir agak jauh.

Esok, penganjur Human Voyage Sdn Bhd akan menganjurkan Perlumbaan Klasik Malaysia, sempena sambutan jubli perak LTdL yang diperkenalkan hasil idea Tun Mahathir pada 1996, bertujuan mempromosi sukan pelancongan di Langkawi dan Malaysia.

- Advertisement -