BEKAS juara Ryan Gibbons bertekad mahu mengulangi pencapaian terbaik memenangi gelaran individu keseluruhan di Malaysia apabila kembali membuat penampilan keduanya dalam jelajah berbasikal terulung Asia, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, bulan depan.

Sejak menjuarai edisi 2017 sebagai pelumba profesional muka baru bersama pasukan Team Dimension Data, juara kebangsaan Afrika Selatan yang mengumpul lapan kemenangan dalam kariernya setakat ini, tidak lagi  menoleh ke belakang.

Pencapaian serta pengetahuannya yang arif dengan bentuk laluan dan cuaca di Malaysia meletakkannya antara pelumba pilihan apabila LTdL bermula di Kuala Pilah, 11 Oktober depan.

Pelumba berusia 28 tahun itu disenaraikan dalam senarai enam pelumba pasukan World Team, UAE Team Emirates bagi perlumbaan edisi ke-26 kali ini, demi menajamkan kekuatan pasukan itu untuk menambah pungutan mata ranking UCI.

Ketika ini, UAE Team Emirates menduduki tangga ketiga dalam senarai mata ranking dengan mengumpul 11,893 mata, di belakang pendahulu Jumbo Visma dan INEOS Grenadiers.

Gibbons dijangka mengetuai cabaran pasukan itu dalam LTdL, bersama-sama pendaki kelahiran New Zealand, George Bennet dalam pemburuan individu keseluruhan (GC), selain pelumba berpengalaman Rui Costa dan Juan Sebastien Molano bagi jersi Raja Pecut.

Dengan reputasi tinggi dalam sirkit WorldTour, UAE Team Emirates yang turut disertai nama besar juara dua kali Tour de France Tadej Pogacar dalam senarai pelumbanya, menjadikan ia antara pasukan pilihan dalam kalangan 22 pasukan yang mengesahkan penyertaan dalam jelajah lapan hari itu.

PETRONAS LTdL 2022 melibatkan kayuhan penuh mencabar sepanjang 1,183km, bermula di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 11 Oktober dan berakhir dengan dua peringkat berturut-turut di Pulau Langkawi, termasuk pendakian yang berakhir di puncak Gunung Raya pada 17 Oktober.

 

Selepas setahun tidak dianjurkan gara-gara wabak Covid yang melanda seluruh dunia, PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 kembali menceriakan peminat dan penonton tempatan dengan kehadiran enam pasukan berstatus World Team, empat pasukan Pro Continental, 11 pasukan Continental dan sebuah pasukan kebangsaan Malaysia.

Sejak pengenalannya pada 1996, pelumba dari Afrika Selatan seringkali membuat impak besar dalam jelajah ini, memenangi empat kejuaraan individu keseluruhan sejak 2005.

Ryan Cox yang mewakili Barloworld menjadi pelumba pertama dari negara itu yang memenangi jersi kuning pada 2005, diikuti David George pada 2006, Reinardt van Rensburg (Team Dimenson Data) pada 2016 dan Gibbons pada 2017.

Gibbons, yang memulakan karier sebagai pelumba profesional pada 2017 memasang sasaran untuk menjadi pelumba pertama negara itu memenangi kejuaraan LTdL sebanyak dua kali.

Selepas empat musim bersama Team Dimension Data, Gibbons membuat kemunculan pertamanya dalam Tour de France pada 2020 bersama pasukan NTT Pro Cycling sebelum menyertai UAE Team Emirates pada tahun lalu, sekaligus menimba banyak pengalaman bersaing dalam perlumbaan besar di Eropah.

Menambah kekuatan pasukan itu adalah pelumba berpengalaman New Zealand, Bennet yang menjadi seorang lagi pencabar GC dalam peloton tahun ini. Berbekal pengalaman luas berkayuh dalam lima kali Tour de France dan tujuh kali Vuelta a Espana, pelumba 32 tahun yang menjadi pelumba profesional pada 2012 itu dikenali sebagai salah seorang daripada dua pembantu domestik Pogacar setiap kali mengharungi laluan pendakian.

Rui Costa, 36, bakal menjadi antara pelumba tertua dalam kalangan pelumba tahun ini, tetapi tetap bernafsu untuk mencuri perhatian dalam LTdL 2022 ini, bagi menutup musimnya selepas tujuh tahun bersama UAE Team Emirates.

Dengan pengalaman sembilan kali beraksi dalam Tour de France dan tiga kemenangan peringkat, Costa yang menjadi pelumba profesional pada 2007 dan pelumba Portugal pertama memenangi kejohanan dunia pada 2013, adalah antara nama yang perlu diberi perhatian.

Selain UAE Team Emirates, pasukan World Team lain yang turut mengambil bahagian tahun ini adalah Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education-EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2022, Shahaizereen Abdul Hamid berkata, jelajah LTdL tahun ini menjadi paling menarik dan kompetitif kerana ada kalangan pasukan handalan itu terdesak untuk memungut lebih banyak mata bagi mengelak tersingkir daripada kelompok 20 pasukan World Team untuk kalendar perlumbaan musim depan.

“Penyertaan pasukan handalan dunia ini menjadikan edisi yang dianjurkan kali ini sebagai antara yang terbaik dari segi kualiti pasukan yang mengambil bahagian, sekali gus menyajikan perlumbaan bertaraf dunia kepada peminat lumba basikal tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Alpecin-Deceuninck yang ketika ini muncul pasukan terbaik dari kalangan Pro Continental dengan berada di tangga ke-11 dunia, dijangka akan memberikan saingan paling sengit, diikuti muka tetap LTdL, Drone Harper-Androni Giacattoli (Itali) dan UNO-X Pro Cycling (Norway). 

Cabaran pasukan Continental akan diwakili Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), dua pasukan berdaftar di Indonesia, Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team; ARA Pro Racing Sunshine Coast dari Australia, China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) dan Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan rantau Asia lain termasuklah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -