BIARPUN berada dalam kelas ProTour UCI, Alpecin-Deceuninck dan UNO X Pro Cycling dilihat mampu mencabar enam pasukan elit WorldTeam yang beraksi dalam edisi ke-26 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL 22), 11 Oktober depan.

Fakta ini bersandarkan kepada kedudukan ranking Alpecin serta barisan pelumba berpengalaman yang dihantar kedua-dua pasukan itu, termasuk di laluan landai dan mendaki, sekali gus merancakkan saingan lapan peringkat LTdL 22 yang akan bermula di Kuala Pilah dan berakhir di Langkawi nanti.

Alpecin yang kini berada di tangga ke-11 ranking dunia dengan 7,528 mata (sehingga 29 September) dilihat lebih memberi tumpuan memburu kemenangan peringkat – berdasarkan enam nama pelumba yang dibawanya.

Diketuai Pengarah Sukan Michele Cornelisse, pakar pecut Jakub Mareczko yang tidak asing dalam kancah LTdL akan mengetuai cabaran pasukan berdaftar di Perancis itu di laluan landai dan henjutan beramai-ramai ke garisan penamat.

Mareczko, 28, pelumba kelahiran Poland yang kini memegang kewarganegaraan Itali, pernah menang tiga peringkat dalam LTdL iaitu Peringkat 6 LTdL 2016 serta Peringkat 3 dan 7 LTdL 2017 (bersama Sountheast Pro Cycling), selain memenangi banyak lagi perlumbaan di benua Asia. Pada 2022 ini, dia memenangi gelaran Raja Pecut Tour of Antalya di Turki.

Pelumba lain Alpecin yang perlu diberi perhatian adalah Michael Gogl, bekas pelumba NTT dan Trek-Segafredo yang pernah lima kali berkayuh di Tour de France dan sekali di Vuelta a Espana.

Empat pelumba lain adalah Jason Osborne, Ayco Bastiaens, Sjoerd Bax dan David Van der Poel, abang kepada jaguh dunia Matthieu Van der Poel.

Sebuah lagi pasukan yang tampil kali pertama dalam LTdL adalah pasukan berdaftar di Norway, UNO X Pro Cycling Team yang membariskan ramai jaguh dalam berbasikal bukit dan cycle-cross.

Berkedudukan ranking ke-22 dunia dengan 2,887 mata, pasukan ini juga membawa pakar pecutnya, Kristoffer Halvorsen, 26, bekas pelumba EF Pro Cycling (2020) dan Sky (2018-2019).

Halvorsen adalah juara dunia B23 pada 2016, pemenang Raja Pecut Tour de l’Avenir 2017; selain Soren Werenskjold, 22, yang dianggap antara pelumba berbakat besar dengan kemenangan B23 kejohanan dunia 2017 acara ujian masa serta tempat ketiga acara lebuh raya.

Empat pelumba lain yang dibawa adalah Fredrik Dvernes, Anders Halland Johanessen dan dua pakar mendaki iaitu bekas pelumba Trek-Segafredo 2018-2021, Niklas Eg yang berpengalaman berkayuh di Giro, TdF dan Vuelta dan Torstein Traeen, yang memenangi gelaran Raja Bukit Tour of the Alps 2022 dan menduduki tempat kesembilan Volta a Catalunya.

LTdL22 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km; Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya  (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km), membabitkan jarak keseluruhan 1,096.9km.

LTdL 2022 kali ini dianggap paling sengit dan menarik dapat disaksikan dengan penyertaan enam pasukan WorldTeam iaitu UAE Team Emirate (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Empat pasukan berstatus Pro Continental pula adalah Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol).

Cabaran pasukan Continental pula diketuai dua pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling, dua pasukan berdaftar di Indonesia iaitu Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team, ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) da Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan rantau Asia lain termasukah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -