PELUMBA muda Astana-Qazaqstan, Gleb Syritsa memenangi Peringkat 1 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL22) apabila memenangi pecutan terakhir beramai-ramai di perkarangan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), hari ini.

Di bawah hujan mulai lebat, selepas mengharungi kayuhan di bawah cuaca panas terik dan mendung, pelumba berusia 22 tahun itu mengetepikan asakan Erlend Blikra (UNO-X Pro Cycling Team) dan Max Kanter (Movistar) dalam henjutan terakhir di peringkat sejauh 153.7km dari Seri Menanti, Kuala Pilah.

Kemenangan itu yang dicatat dalam masa 3 jam 43 minit 43 saat, dengan bonus masa 10 saat dan kutipan 15 mata, turut memberikan Syritsa jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan dan hijau Raja Pecut bagi Peringkat 2 Kuala Klawang ke Raub sejauh 178.9km, esok.

Syritsa, pelumba trek kebangsaan Russia yang menyinar di Piala Negara-Negara UCI tahun lalu dan mengutip lima kemenangan amatur sebelum dilamar Astana dua bulan lalu untuk dibawa ke LTdL 2022, tidak percaya dengan kemenangan profesional pertamanya.

“Saya tidak percaya dengan kemenangan hari ini. Tiada strategi khusus, saya hanya mengekori lima atau enam pasukan yang bergerak ke depan dan terus cuba nasib ketika memecut ke garisan penamat,” katanya yang akan menyarung jersi kuning di garis mula Peringkat 2 Kuala Klawang ke Raub, esok.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar yang berada dalam kelompok pemecah pada awal perlumbaan dan menawan dua zon pendakian di Senaling dan Tekali, menyarung jersi merah Raja Bukit dengan 15 mata, selain muncul pelumba terbaik kategori Asia.

“Ya, memang dalam perancangan pasukan untuk saya cuba merebut jersi bukit. Sebab itulah saya bertindak meloloskan diri di awal perlumbaan. Saya akan cuba mempertahankan jersi ini pada peringkat-peringkat seterusnya,” kata pelumba 26 tahun dari Ulaanbaatar itu.

Seperti yang dijangka, peringkat pertama LTdL ini menyaksikan saingan sengit sejak awal sebaik melepasi zon keraian, dengan ramai bertindak agresif dan cuba meloloskan diri yang menyaksikan sekumpulan sembilan pelumba membentuk kumpulan pendahuilu di depan.

Di dalam kumpulan itu, Jambaljamst dan rakan sepasukan, Muhammad Nur Aiman Zariff saling bekerjasama untuk mengutip mata pecut dan pendakian awal di Senaling, dan bergerak laju sehingga pada suatu ketika berada 9 minit 30 saat di depan, dengan purata kelajuan melebihi 45kmj.

Cuaca panas membakar pelumba itu bertukar mendung sebaik melepasi separuh jarak kayuhan iaitu ketika menghampiri zon pendakian ketiga di Mantin.

Hanya ketika itulah peloton mula meningkatkan tempo kayuhan untuk mengejar kumpulan pendahulu itu yang sebaliknya mula kehilangan tenaga dan kurang bekerjasama untuk memastikan jarak selesa di depan.

Malah, peloton yang diterajui Astana-Qazaqstan Pro Cycling, kemudian EF Education-EasyPost dan Movistar bergerak laju sambil tiga pelumba memutuskan untuk menunggu peloton.

Baki enam pelumba termasuk Jambaljamts dan Nur Aiman juga gagal bertahan selepas ketika menghampiri zon pendakian Kategori 2 di Tekali sambil peloton hanya berada kira-kira 1:30s di belakang, sebelum semua pelumba di depan dapat ditangkap sebelum pendakian terakhir di Look Out Point, Ampang.

Menuju ke baki 15km terakhir, pelumba menempuh pula cuaca hujan dengan pasukan UNO-X menerajui kumpulan besar pelumba menuju ke garisan penamat di depan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Tempo kelajuan yang tinggi itu nyata menyebabkan kelompok pelumba berpecah menjadi beberapa kelompok besar dengan pakar-pakar pecut bergerak ke depan dan menunggu detik henjutan terakhir yang dimenangi Syritsa yang mengetuai sekumpulan 49 pelumba.

Kumpulan kedua 10 pelumba tiba seminit kemudian manakala kumpulan besar dan kumpulan serpihan tiba hampir 12 minit kemudian.

LTdL22 bersambung dengan Peringkat 2 dari Kuala Klawang ke Raub, membabitkan jarak terpanjang pada edisi kali ini iaitu 178.9km, menyediakan tiga zon pecut dan dua zon pendakian.

- Advertisement -