AIRMARINE (MALAYSIA) SDN. BHD, yang merupakan sebuah syarikat logistik terkemuka telah tampil ke hadapan untuk merancakkan saingan bolasepak membabitkan pasukan kebangsaan dengan memperkenalkan kejohanan Piala AIRMARINE yang akan berlangsung pada 20 dan 23 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejohanan edisi sulung ini akan menampilkan Malaysia selaku tuan rumah, Singapura, Oman dan juga Solomon Islands yang akan berentap pada kejohanan yang diadakan pada kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Piala AIRMARINE 2019 akan menjadi platform untuk memberi saingan yang lebih kompetitif buat skuad kebangsaan bagi memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA untuk meraih seberapa banyak pendedahan dan juga mata untuk memperbaiki kedudukan di dalam ranking antarabangsa FIFA.

Sejajar dengan pelan hala tuju pembangunan bolasepak selama 12 tahun atau dikenali sebagai F:30 yang diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Piala AIRMARINE 2019 akan menjadi titik permulaan untuk pelan jangka masa panjang bolasepak negara bagi membawa skuad kebangsaan ke satu tahap yang lebih tinggi.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi semasa pelancaran kejohanan itu berkata, “Kejohanan ini akan menjadi kesinambungan buat skuad kebangsaan yang telah berjaya menyinar di kejohanan Piala AFF Suzuki tahun lalu untuk memulakan satu pelan pembangunan yang komprehensif dan menjadi sebagai pasukan bolasepak yang disegani.”

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Pengerusi Eksekutif AIRMARINE Malaysia Datuk Ananth S. Nathan dan ProEvents yang telah tampil ke depan untuk memberi ruang kepada pasukan kebangsaan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan yang ternama sekaligus dapat memberi peluang untuk meraih pengalaman sebagai persediaan untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang,” tambah Yusoff.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents International, Encik Julian Kam berkata, “Adalah menjadi kewajipan FAM untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian pasukan kebangsaan. Walau bagaimanapun, amat jarang sekali syarikat korporat untuk melangkah ke hadapan dan membantu FAM dalam usaha menaikkan martabat bolasepak negara. Inilah komitmen sebenar Pengerusi Eksekutif AIRMARINE (MALAYSIA) SDN. BHD., Dato ‘Ananth S.Nathan, melalui Piala AIRMARINE.”

Julian berkata, “Terdapat dua matlamat utama Piala AIRMARINE yang turut dianjurkan pada kalendar perlawanan antarabangsa FIFA. Kejohanan ini bertujuan mewujudkan satu platform bagi pasukan kebangsaan untuk terlibat dalam perlawanan yang lebih kompetitif sekaligus memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA dan juga untuk menarik peminat bolasepak di rantau ASEAN hadir ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan kejohanan ini.”

Ketua Pengarah Eksekutif ProEvents, Encik Julian Kam berkata, “Kami gembira untuk bekerjasama dengan AIRMARINE Malaysia kerana tanpa kerjasama yang diberikan Dato Ananth pastinya kejohanan ini tidak dapat dijayakan. Dato Ananth ialah seorang yang cekal dalam meningkatkan imej AIRMARINE dan begitu juga dalam cita-citanya untuk membantu pasukan Harimau Malaya kembali menjadi sebuah pasukan yang digeruni.”

Tiket untuk kejohanan ini akan mula dijual pada 1 Mac 2019 menerusi Proticket dengan harga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 bagi tempat duduk terbuka. Tiket boleh didapati menerusi atas talian di proticket.com.my dan menerusi talian hotline Proticket 03-7880 7999.

ProEvents adalah sebuah syarikat perundingan pemasaran dan pengurusan bola sepak terkemuka di Asia dengan kepakaran dalam membawa pasukan bolasepak ternama. Dengan memiliki pejabat di Hong Kong, Malaysia dan Singapura, ProEvents telah menganjurkan dan mempromosikan banyak pertandingan bola sepak antarabangsa dan antara kelab bolasepak yang telah kami bawa ke rantau Asia ialah Manchester United, Chelsea, Arsenal, Liverpool, Manchester City, Barcelona, Bayern Munich, Paris St Germain, Inter Milan dan banyak lagi. FAM

- Advertisement -