Malaysia ke pentas final Piala Asia 2022 selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Jepun dalam aksi terakhir pusingan ā€œSuper 4ā€ Piala Asia 2022, Jakarta, Indonesia yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

Pakar pukulan sudut penali negara, Muhammad Razie Abd Rahim yang menjaringkan gol ketiga negara dipilih selaku pemain terbaik perlawanan di antara Malaysia menentang Jepun.

Jaringan pembukaan Malaysian Tigers hadir beberapa saat sebelum aksi suku pertama berakhir menerusi satu gerakan padang dan Shello Silverius memanfaatkan peluang yang dimiliki untuk meletakkan Malaysia di hadapan.

Bersambung suku kedua, Malaysia mempunyai dua pelaung pada minit ke-22 dan minit ke-23 namun percubaan tersebut sedikit tersasar.

Tanpa mengenal erti menyerah kalah, Malaysia terus menggandakan asakan menerusi gerakan padang beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama ditutup.

Malaysia melebarkan jurang gol bermula dengan bola hantaran kapten pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan disudahkan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi hanya menghulurkan kayunya untuk gol kedua Malaysia terhasil dan kedudukan 2-0 menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, skuad negara menambah dua lagi gol pada minti ke-35 bermula dengan gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh fliker negara, Muhammad Razie Abd Rahim, sebelum Muhammad Syafiq Hassan menambah satu lagi gol beberapa saat kemudian untuk Malaysia selesa mendahului 4-0.

Mohamad Ashran Hamsani mencatat nama selaku penjaring kelima pada minit ke-42 selepas bijak mencari sudut atas sebelah atas kanan pintu gol lawan yang sekaligus menewaskan penjaga gol Jepun.

Enam minit sebelum perlawanan berakhir, Jepun dihadiahkan dengan kelebihan pukulan sudut penalti dan pujian perlu diberikan kepada penjaga gol negara, yang menyelamatkan gawang negara dan kedudukan 5-0 kekal menutup aksi terakhir pusingan Super 4.

Malaysia akan berdepan Korea Selatan di aksi perlawanan akhirĀ  yang akan berlangsung esok (Rabu ā€“ 1 Jun) jam 7:30 malam waktu Malaysia.

- Advertisement -