Ibarat rezeki jatuh dari langit, Juara Liga Super tujuh kali, Johor Darul Takzim mendapat laluan yang agak ‘selesa’ untuk mempertahankan kejuaraan bagi trofi Piala Malaysia musim ini.

Undian tampak ‘memihak’ JDT yang akan berdepan Kuching FA pada pusingan pertama dan dijadual berlangsung pada 6 November depan sekaligus menentang Kuala Lumpur yang mendapat ‘bye’ di peringkat suku akhir.

Kuala Lumpur ‘kehilangan’ lawan mereka, Sabah yang tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan hingga 9 November.

JDT pastinya diletak selaku pasukan pilihan dijangka tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan meskipun berkemungkinan besar turun tanpa tonggak utama kerana JDT akan berlepas ke Doha, Qatar bagi mengharungi pusingan zon timur Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia dari 18 November hingga 13 Disember.

Lain pula cerita yang melibatkan Kedah, Pahang dan Selangor serta Perak yang dijangka akan bertemu di peringkat separuh akhir.

Kedah yang merupakan juara lima kali, akan berdepan tugas getir memburu slot ke suku akhir kerana perlu bertemu Pahang yang merupakan juara Piala Malaysia 4 kali di pusingan pertama.

Dua pemenang ini perlu menempuh satu lagi liku apabila dijadual bertemu pemenang diantara juara 33 kali, Selangor dan Melaka United untuk mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, Terengganu FC akan bertemu PJ City FC manakala Perak akan berdepan Kelantan United FC untuk mengisi slot ke suku akhir manakala juara Liga Premier 2020 dan juara empat kali Pulau Pinang berdepan Felda United FC yang bakal beraksi dalam saingan terakhir Liga Malaysia selepas gagal mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim 2021.

Pusingan pertama dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 November, diikuti aksi suku akhir yang dijadual berlangsung pada 12 dan 13 November

Saingan peringkat separuh akhir adalah pada 17 November dan final bakal dilangsungkan pada 22 November.

Piala Malaysia bagi tahun 2020 terpaksa dipendekkan menerusi format kalah mati tanpa melibatkan perlawanan peringkat kumpulan dan aksi timbal balik pada musim ini susulan pandemik COVID-19.

11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier (tidak termasuk pasukan ‘reserve’) layak beraksi pada Piala Malaysia musim ini.

 

Jadual perlawanan Piala Malaysia 2020

1. Pulau Pinang lwn Felda United FC

2. UiTM FC lwn Kelantan

3. JDT lwn Kuching FA

4. Kuala Lumpur – ‘bye’

5. Terengganu FC lwn PJ City FC

6. Perak lwn Kelantan United FC

7. Kedah lwn Pahang

8. Selangor lwn Melaka

 

- Advertisement -