Oleh Muhammad Aiman

Pasukan badminton negara boleh menarik nafas lega apabila dihadiahkan undian seimbang di Kejohanan Piala Sudirman yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia, dari 21-28 Mei depan.

Undian yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat menyaksikan Malaysia yang merupakan pilihan kelima, diundi dalam Kumpulan C bersama juara Piala Thomas 2014 yang juga pilihan keempat, Jepun serta England.

Ini sekaligus hadir sebagai perkhabaran ceria buat kem negara yang mengelak tiga pasukan pilihan – China, Denmark dan Korea Selatan justeru dilihat berpotensi cerah melangkah ke separuh akhir.

Juara bertahan, China yang memburu gelaran kesebelas berada dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Hong Kong manakala pilihan kedua, Denmark di dalam Kumpulan D bersama Indonesia dan India.

Kumpulan B pula akan menemukan pilihan ketiga, Korea Selatan, Taiwan dan Russia.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia, Morten Frost Hansen berkata, “Saya percaya ia adalah undian yang seimbang buat kita dan kita berpeluang untuk merebut tempat di separuh akhir.

“Ianya lebih bagus jika kita boleh menjuarai peringkat kumpulan kerana itu akan memberikan undian yang lebih mudah di peringkat suku akhir.”

Tambahnya lagi, “Saya lihat Jepun sebagai lawan yang kuat, mereka unggul dalam perseorangan wanita dan beregu wanita tetapi kita mempunyai kelebihan dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran. Mereka boleh membantu merealisasikan sasaran kita.”

Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Sudirman yang diperkenalkan pada 1989 adalah layak ke separuh akhir pada 2009 di Guangzhou. Ketika edisi terdahulu pada 2015 di Dongguan, China, Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir setelah tewas kepada Korea Selatan. 

- Advertisement -