Peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia hari ini telah menyaksikan beberapa pembatalan dan penundaan kejohanan sukan termasuk temasya Sukan Malaysia – SUKMA XX Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 2-10 April 2021 akan dipinda ke tahun 2022.
Keputusan tersebut dibuat selepas satu mesyuarat bersama dengan Majlis Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada Isnin yang menyaksikan penundaan buat kali kedua selepas pernah berbuat demikian pada Mac 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 yang semakin menyaksikan pertambahan jumlah kes di Malaysia.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga membuat keputusan untuk meminda penganjuran temasya PARA SUKMA XX Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 8-13 Mac 2021 dengan kedua-dua temasya tetap akan dianjurkan oleh Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di dalam satu sidang media khas hari ini di Bangunan Datoā Jaafar Muhammad, Kota Iskandar turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini yang menjadi faktor utama Kerajaan Negeri Johor memohon untuk meminda tarikh temasya dwi-tahunan tersebut.
āSelaku penganjur, pihak kami meletakkan keutamaan terhadap keselamatan dan kesihatan para atlet, pegawai dan petugas sukarelawan serta kos penganjuran yang berkemungkinan akan meningkat dari segi pengendalian
SOP kesihatan dan keselamatan, kerajaan negeri Johor tiada pilihan selain meminda penganjuran Sukan Malaysia edisi ke-20 kepada 2022,ā katanya.
Beliau turut menambah, kalendar sukan yang dijangka padat pada tahun 2021 juga dipertimbangkan bagi mengelak kontinjen bertanding dibebani dengan jadual latihan yang padat. Kerajaan negeri juga tidak mahu tergesa-gesa bagi penganjuran SUKMA kali ini memandangkan seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kecuali negeri Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak masih lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Selain itu, pindaan tarikh peperiksaan awam yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan pada Ahad juga turut dipertimbangkan di dalam mesyuarat tersebut. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda kepada 22 Februari 2021. Manakala Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pula dianjak ke 8 Mac 2021 dan akan melibatkan seramai 171 atlit.
Sebagai tanda penghargaan di atas kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan oleh para atlit dan jurulatih, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor telah bersetuju untuk menyampaikan insentif berjumlah RM1,000 buat 100 atlit prospek pingat emas dan RM500 kepada 984 atlet, jurulatih, pengurus dan kakitangan MSNJ yang komited dalam membantu mempersiapkan atlet ke temasya ini.
āMSNJ juga menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membantu atlit-atlit SUKMA negeri Johor yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dalam jurusan Pengurusan Sains Sukan.
āProgram ini adalah khusus buat mereka yang bernaung di bawah MSNJ di mana mereka tidak perlu ke kampus sebaliknya kelas akan diadakan pada hujung minggu di asrama atlit atau pejabat MSNJ,ā tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Encik Gadaffie Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengkaji semula program latihan atlit sambil mahu kontinjen negeri Johor memanfaatkan fasiliti sukan yang telah siap dibina.
āKebanyakan gelanggang pula akan digunakan oleh atlit-atlit negeri Johor untuk mereka berlatih sepanjang tempoh menjelang SUKMA nanti dan fasiliti tersebut boleh digunakan oleh orang awam tertakluk kepada bayaran yang akan ditetapkan,ā kata Gadaffie.
Kali terakhir Johor menjadi tuan rumah Sukan Malaysia adalah pada edisi keempat tahun 1992. SUKMA XX Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 2-10 April 2021 akan melibatkan tiga buah daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi dengan sejumlah 31 jenis sukan dipertandingkan.