Trio gimnas negara – Amy Kwan, Izzah Amzan dan Koi Sie Yan menghadiahkan pingat perak buat kontijen negara menerusi acara gimnastik berirama berpasukan di Pusat Sukan Tertutup Coomera pada Rabu.

Trio itu mempamer penguasaan cemerlang dalam empat apparatus iaitu bola, gelung, belantan dan riben selain lentikkan memukau namun ia tidak memadai untuk menoktahkan penantian emas sejak 20 tahun lalu.

Malaysia kali terakhir memenangi emas menerusi gandingan Carolyn Au Yong, Sarina Sundara Rajah, El Reginna Tajuddin dan Thye Chee Kiat di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Bagaimanapun, 127.950 mata yang dikumpul berjaya mengatasi pencapaian meraih gangsa empat tahun lalu menerusi trio Amy Kwan, Fatin Zakirah dan Wong Poh San.

Pingat emas menjadi milik gimnas dari Cyprus yang mengumpul 130.625 mata sementara tuan rumah Australia memenangi gangsa dengan 120.800 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -